Impak media sosial terhadap kesihatan mental

Iklan
Kesihatan mental merupakan isu yang terkenal dalam masyarakat global. Gambar kecil: Ainun Nabihah.

Media sosial telah mengubah sepenuhnya cara kita berhubung antara satu sama lain, berkongsi maklumat dan berkomunikasi pada era digital ini.

Ia telah menjadi perkara penting dalam kehidupan seharian manusia. Walaupun media sosial secara dasarnya memberikan banyak kelebihan, namun terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat tentang penggunaan media sosial dapat mempengaruhi kesihatan mental kearah negatif.

Iklan
Iklan

Kesihatan mental merupakan isu yang terkenal dalam masyarakat global. Sehubungan itu, dikatakan bahawa salah satu faktor yang mempengaruhi masalah kesihatan mental ialah media sosial.

Artikel ini akan mengupas hubung kait antara penggunaan media sosial dan kesihatan mental, impak kebaikan dan keburukannya untuk pengguna.

Iklan

Walaupun banyak maklum balas yang diterima mengatakan media sosial memberikan banyak impak negatif namun, terdapat juga beberapa kesan berfaedah media sosial yang boleh mempengaruhi keihatan mental manusia.

Pertama sekali, secara umumnya media sosial adalah satu platform yang boleh menghubungkan manusia satu sama lain.

Iklan

Platform media sosial boleh menemukan seseorang dengan orang lain yang berkongsi minat yang sama, bertukar cerita dan memberi sokongan kepada satu sama lain.

Rasa kebersamaan ini, memberikan sumber empati dan pemahaman dan boleh membantu mereka yang berhadapan dengan isu kesihatan mental.

Media sosial juga berfungsi untuk manusia mengakses maklumat kerana media sosial ialah platform utama untuk bertukar-tukar pautan, artikel dan data yang berguna tentang kesihatan mental.

Untuk menggalakkan kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi tentang isu kesihatan mental ini, pengguna boleh mengakses cara mengatasi, petua bantu diri dan juga berhubung dengan profesional kesihatan mental.

Twitter dan Instagram merupakan platform media sosial yang paling banyak digunakan untuk menyebarkan dakyah tentang keihatan mental.

Akhir sekali, platform ini juga dapat mengurangkan rasa malu pengguna yang mempunyai masalah dengan kesihatan mental mereka.

Perkongsian naratif dan pengalaman peribadi pengguna media sosial telah banyak menyumbang kepada penurunan stigma yang berkaitan dengan kesihatan mental.

Dialog terbuka tentang isu kesihatan mental menormalkan topik ini dan memberi kuasa kepada orang ramai untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu risau tentang prasangka atau kutukan.

Media sosial juga mempunyai kesan buruk kepada kesihatan mental. Pertama sekali, platform ini boleh mendatangkan perasaan iri hati dan menyebabkan berlakunya perbandingan antara pengguna-penggunanya.

Kecenderungan pengguna media sosial untuk membandingkan kehidupan mereka dengan orang lain adalah salah satu aspek negatif terbesar dalam platform ini.

Pendedahan yang kerap seseorang terhadapn kekayaan, kecantikan, kebijaksanaan orang lain boleh menyebabkan rasa rendah diri, cemburu dan perasaan tidak mencukupi, yang boleh memburukkan lagi keadaan kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Selain itu, media sosial juga boleh membawa kepada gangguan buli siber. Tapak media sosial memberi kesan yang sangat negatif kepada kesihatan mental mangsa buli siber ini.

Pengguna media sosial lebih berani membuli dalam platform ini kerana mereka berselindung disebalik identiti yang tidak diketahui orang ramai.

Perkara ini mendatangkan keyakinan kepada orang ramai untuk bertindak menyakitkan hati pengguna lain, yang boleh mengakibatkan trauma, perasaan malu dan kesunyian. Kesan berbahaya yang paling lazim ialah kebergantungan dan ketagihan.

Terdapat pengguna yang sangat bergantung dengan media sosial dalam menentukan kehidupannya. Contohnya, sesetengah pengguna akan bertanyakan pendapat rakan media sosialnya untuk menentukan keputusan yang diambil untuk sesetengah perkara dalam kehidupan.

Hal ini tidak wajar kerana semua mempunyai cara berfikir dan kemampuan yang berbeza. Perkara ini juga boleh menyebabkan seseorang itu kurang jati diri dan tidak boleh membuatkan keputusan dengan sendiri.

Ringkasnya, tanpa ragu-ragu, media sosial mempunyai kesan yang besar terhadap kesihatan mental kita dengan mempengaruhi cara kita melihat dunia, orang lain dan diri kita sendiri. Terdapat impak yang baik yang baik dengan menggunakan media sosial ini, tetapi terdapat juga risiko dan cabaran khas.

Kita boleh menggunakan kemudahan media sosial dengan berhati-hati dan membangunkan hubungan yang lebih sihat dengan media sosial untuk manfaat kesihatan mental kita dengan mempromosikan kesedaran dan meletakkan keutamaan yang tinggi pada penjagaan diri.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Tahun 2, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ainun Nabihah Mohd Zabidi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my