Sesi persekolahan di 62 sekolah di Papar, Sabah beroperasi seperti biasa walaupun daerah itu diisytihar kawasan bencana kemarau susulan krisis bekalan air kritikal akibat cuaca panas sejak beberapa minggu lepas.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, setakat ini keadaan masih terkawal dan pengoperasian sekolah membabitkan 23,740 pelajar di daerah itu masih berjalan seperti biasa.
"Kita akan mendapatkan maklumat mengenai keadaan tahap cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dari semasa ke semasa. Jika ada arahan (sesi persekolahan ditutup sementara) dan cuaca panas tidak mengizinkan untuk pelajar ke sekolah, maka kita akan akur arahan itu.
"Kita juga meminta semua sekolah di Papar dan kawasan lain yang dilanda cuaca panas agar mengehadkan aktiviti di luar bilik darjah,” katanya.
Semalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam satu kenyataan mengisytiharkan daerah yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu itu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air pada tahap kritikal akibat cuaca panas.
Dalam pada itu Raisin berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar juga diminta mengenal pasti mana-mana sekolah yang memerlukan air seterusnya menghantar surat permohonan kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bagi tujuan penghantaran bekalan air ke sekolah terbabit.
"Setiap sekolah juga hendaklah memastikan ada tangki untuk menyimpan air yang akan dihantar oleh JANS,” katanya yang turut mengingatkan semua sekolah untuk melakukan penjimatan air.
Raisin berkata pelajar sekolah berasrama yang tinggal berhampiran kediaman masing-masing turut dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani sesi persekolahan secara harian.
"Terdapat tujuh sekolah berasrama di Papar melibatkan seramai 1,600 orang penghuni.
"Bekalan air juga akan disalurkan oleh jabatan berkaitan ke setiap asrama terbabit untuk kegunaan pelajar,” katanya.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Sabah turut merancang menghantar bekalan air minuman ke setiap sekolah terutama yang berdepan masalah air kritikal sebagai sebahagian usaha memastikan pelajar mendapat bekalan air minuman mencukupi semasa berada di sekolah.
Menurutnya semua sekolah di seluruh Sabah juga perlu melaporkan kepada PPD mengenai tahap bekalan air dan keadaan cuaca panas di sekolah masing-masing bagi membolehkan langkah seterusnya diambil dalam mendepani situasi tersebut. -BERNAMA