Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sistem pendidikan prauniversiti yang melibatkan Tingkatan Enam dan Matrikulasi telah menarik perhatian rakyat Malaysia.
Menerusi pengumuman itu, kedua-dua laluan pendidikan tersebut dijangka dikendalikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus menandakan satu perubahan penting dalam landskap pendidikan negara.
Sehubungan itu, Sinar Bestari berkongsi beberapa fakta dan informasi menarik mengenai Tingkatan Enam yang mungkin masih kurang diketahui oleh masyarakat, khususnya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), menyatakan ‘pendidikan lepas menengah’ ertinya Pendidikan yang disediakan untuk seseorang yang sudah tamat mengikut Pendidikan lepas menengah, tetapi tidak termasuk Pendidikan Tinggi.
Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah menengah kerajaan dan sekolah menengah bantuan kerajaan lebih daripada 50 tahun dahulu.
Pada masa itu, bilangan kelas Tingkatan Enam yang di tawarkan ialah minimum dua kelas dan maksimum 22 kelas.
Terdapat dua bidang yang ditawarkan iaitu bidang Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan bidang Sains.
Mulai tahun 2008, langkah penambahbaikan dari segi pengurusan dan fungsi Tingkatan Enam serta kebajikan murid diberi tumpuan untuk proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik serta menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif.
Cadangan penambahbaikan yang disarankan oleh KPM pada 2008 merangkumi beberapa aspek seperti pengurusan dan pentadbiran; pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran; penyelidikan dan penulisan ilmiah; kemudahan fizikal dan peranan Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah.
Manakala pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah dimulakan pada 2012 setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012.
Tempoh pengajian di Tingkatan Enam adalah selama tiga semester. Murid yang telah menamatkan pengajian menengah atas dan telah menduduki peperiksaan SPM, layak untuk ditawarkan pengajian di Tingkatan Enam jika memenuhi syarat umum dan syarat khusus bagi bidang yang ditawarkan.