Seramai 20 mahasiswa program Keselamatan dan Jaminan Maklumat, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), menjayakan misi kembara Global Islamic Student Outreach (GISO) di sekitar Ho Chi Minh, Vietnam, baru-baru ini.
Turut serta dalam rombongan tersebut adalah pegawai pengiring, Profesor Madya Dr Sakinah Ali Pitchay.
Bertemakan ‘Discovering the Insight of Culture: Tadabbur Alam di Bumi Vietnam’, misi lima hari, yang bermula 19 Februari lalu bertujuan mengenali budaya masyarakat Vietnam dengan lebih mendalam merangkumi pelbagai etnik dan agama.
Sepanjang misi kembara itu berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan antaranya Lets Go Green di Masjid Musulmane iaitu penanaman pokok bunga di kawasan masjid yang bertujuan meredupkan lagi suasana sekitar.
Selain itu, aktiviti memasak juga diadakan bersama masyarakat setempat dengan memperkenalkan cara pengajian makanan tradisional etnik Banjar iaitu wadai kipeng dan turut dijamukan kepada masyarakat sekitar sekali gus mendapat pujian dengan keenakan dan cara pengajian yang agak mudah.
Seterusnya, para peserta turut menjalankan beberapa aktiviti bersama anak-anak masyarakat Vietnam yang berusia 8 hingga 20 tahun iaitu eksplorasi permainan yang terbahagi kepada beberapa stesen seperti mewarna huruf hijaiyyah yang tertera perkataan USIM, penjagaan kesihatan rambut dan aktiviti permainan tradisional Malaysia seperti lompat tikus, batu seremban dan dam haji.
Selain itu, misi kembara GISO turut menghulurkan sumbangan sebagai tanda kenang-kenangan kepada Masjid Musulmane.
Antara yang disumbangkan adalah beberapa naskhah yassin yang disumbangkan Masjid Zaid Bin Harithah, Malaysia, kit kebersihan dan set alat tulis untuk kanak-kanak setempat.
Menurut Pengarah Program, Nur Nabiha Abdullah, perbezaan bahasa tidak menjadi halangan bagi mahasiswa USIM berkomunikasi dan berinteraksi melalui eksplorasi permainan yang dianjurkan.
"Saya berasa gembira tatkala melihat jalinan ukhuwah yang terbina antara masyarakat setempat dengan penuntut USIM.
"Hal ini memberikan pengalaman baru kepada mereka dan masyarakat setempat akan keunikan budaya masing-masing”, ujarnya.
Perkongsian menarik
Dalam pada itu, pada hari berikutnya, mahasiswa USIM turut berkunjung ke Education Malaysia (EM) di Ho Chi Minh City, Vietnam yang disambut mesra Konsul (Pendidikan), Konsulat Jeneral Malaysia, Dr Azriey Mazlan.
Pelbagai aktiviti perkongsian ilmu telah dijalankan bersama mahasiswa University of Social Science and Humanity, Ho Chi Minh City (USSH) di EM.
Antaranya sesi perkongsian Cyber Hasanat oleh Yasmin bagi menerangkan kesedaran keselamatan siber dan juga jenayah siber yang sering berlaku dalam kehidupan seharian.
Turut diadakan perkongsian ilmu Cyber Hasanat: Secure Cybercitizenship melalui papan permainan yang memperkenalkan elemen didik hibur bertujuan memberikan pendedahan tentang dunia siber.
Walaupun dalam masa yang singkat, aktiviti ini mampu menarik minat mahasiswa USSH sekali gus memberi input mengenai keselamatan siber secara berkesan.
Projek Cyber Hasanat ini merupakan libatsama masyarakat berterusan yang juga telah dijalankan di beberapa buah sekolah sebelum ini diketuai Sakinah.
Kemudian, sesi Let’s Get to Know Our Culture diadakan dengan memperagakan busana tradisional dan kuih tradisi bersama mahasiswa USSH dan aktiviti persembahan balas yang dinyanyikan mahasiswa USSH.
Majlis ditutup secara ringkas dengan pemberian cenderamata dan sesi fotografi bersama kakitangan EM serta diserikan lagi dengan ucapan ‘Saya Sayang Malaysia’ oleh mahasiswa USSH pada akhir sesi yang semestinya memberi makna kasih kepada peserta GISO.
Kunjungan ke Open University
peserta GISO meneruskan perjalanan ke Open University of Ho Chi Minh City diiringi Azriey Mazlan.
Kedatangan disambut baik oleh warga kampus yang juga berlatar belakangkan bidang Sains Komputer.
Sesi lawatan dimulai dengan penerangan ringkas mengenai bumi Vietnam, Sejarah dan budaya masyarakat.
Di samping itu, sesi perkongsian ilmu dan pengalaman daripada kedua-dua belah pihak mengenai kursus Sains Komputer, latihan industri dan proses penulisan tesis.
Peserta GISO turut dibawa melawat kawasan sekitar universiti termasuklah reka bentuk bangunan, perpustakaan merangkumi kemudahan fasiliti dengan diiringi pensyarah Open University.
Secara keseluruhannya, program pengantarabangsaan ini berjaya mencapai objektif dengan mewujudkan jalinan kerjasama yang jitu dalam kalangan mahasiswa khususnya melibatkan pengintegrasian antara etnik dan budaya antara dua buah negara serta memberi peluang menimba ilmu dan pengajaran di luar kelas.