Universiti Multimedia (MMU) diumum penerima Anugerah Institusi Terbaik dalam Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT 2023) di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Anugerah yang disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud, secara tidak langsung telah menjulang nama MMU sebagai Universiti Keusahawanan Terbaik di negara ini.
Menurut Mazliham, kejayaan berkenaan sangat bermakna buat MMU kerana ia mengiktiraf usaha berterusan dalam memperkasakan ekosistem keusahawanan kondusif dalam kalangan warga universiti dan komuniti.
"Pengiktirafan ini membuktikan program dan aktiviti keusahawanan seperti Program Entrepreneur Cadetship atau eCadet yang melibatkan mahasiswa dan kakitangan MMU telah diakui berjaya melahirkan komuniti usahawan cemerlang untuk negara.
"Ia sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan MMU sebagai salah sebuah universiti terbaik di Malaysia dalam melahirkan graduan memiliki ilmu keusahawanan dan kebolehpasaran tinggi dalam pasaran kerja,” katanya.
Tambah beliau, eCadet adalah program latihan keusahawanan yang memberikan pendedahan awal tentang budaya keusahawanan kepada penuntut sejak mula pengajian.
Melalui program itu, Mazliham berkata, mereka (penuntut) akan diberi bimbingan oleh usahawan-usahawan terkemuka yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.
Terdahulu, AKKPT merupakan majlis Anugerah dwi-tahunan bertujuan memberi pengiktirafan kepada mahasiswa dan graduan institusi pendidikan tinggi (IPT) serta tenaga pengajar yang menunjukkan kecemerlangan dan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda keusahawanan di menara gading.
AKKPT 2023 menyaksikan Universiti Pendidikan Sultan Idris turut menerima anugerah yang sama dengan MMU dan berkongsi hadiah utama RM250,000.
Sekumpulan penuntut jurusan Multimedia Teknologi Maya, Fakulti Multimedia Kreatif, MMU, Irfan Samrizan Samsuri, Nur Aina Zayani Yusaini, Haris Zaid dan Siti Arina Sahul Hameed pula, meraih tempat pertama bagi Kategori Khas: Projek Pelajar Teknologi Terbaik - AR/VR menerusi projek Johor melalui Mata Seorang Seniman.
Dengan kejayaan itu, mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000.
Selain itu, mahasiswa tahun akhir Perakaunan MMU yang juga pengasas syarikat aplikasi JomStudy, Ong Yong Xun telah memenangi tempat ketiga Kategori Khas: Syarikat Permulaan Pelajar Terbaik dan membawa pulang RM7,000.
Manakala Timbalan Pengarah Penglibatan Alumni, Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan MMU, Putri Syaidatul Akma Mohd Adzmi mendapat tempat ketiga untuk Anugerah Mentor Terbaik dan menerima RM7,000.