Bagi melahirkan pelajar orang kurang upaya (OKU) yang daya kepimpinan tinggi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif melaksanakan kem kepimpinan kepada 30 pelajar OKU baru-baru ini.
Kem Pembangunan dan Pemantapan Kepimpinan Pelajar itu menyediakan pelbagai modul bersifat kepimpinan dan pembangunan diri daripada kumpulan pensyarah Fakulti Ekologi Manusia UPM.
Menurut Ahli Lembaga Pengarah UPM, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, penganjuran program bertujuan menyahut seruan kerajaan memperkasakan Kampus Inklusif OKU.
Malah, ia wajar dipergiatkan oleh semua universiti dalam negara bagi mempersiapkan pelajar OKU dengan ilmu dan bakat memimpin negara.
Tambah Noraishah, kem berupaya membina sifat keyakinan dan bertanggungjawab pelajar OKU di universiti untuk cemerlang dalam akademik dan kemahiran insaniah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa OKU UPM, Pang Khong You berkata, modul yang diajar memberikan nilai tambah pembelajaran dan nilai insan yang membentuk keyakinan diri mereka.
"Saya berharap satu program mobiliti antarabangsa untuk mereka dapat dibuat dalam masa terdekat untuk memberi pengalaman menguruskan program antarabangsa yang berimpak,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Profesor Dr Arifin Abdu berkata, idea kem dicetuskan Naib Canselor UPM, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah merangka konsep True North berpaksikan hasil, nilai dan keterangkuman ke arah motto UPM, Berilmu Berbakti.