Lebih ramai bakat teknikal faham teknologi - Lih Kang

Iklan
Permintaan pekerja berkemahiran tinggi sudah pasti meningkat setiap tahun kerana lebih banyak pelaburan asing berasaskan teknologi akan masuk ke Malaysia. Gambar kecil: Lih Kang.

Terdapat keperluan mewujudkan lebih banyak bakat bidang teknikal yang memahami teknologi dengan lebih baik berikutan perkembangan pesat teknologi baharu seperti tenaga baharu dan kecerdasan buatan di peringkat global.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, permintaan untuk pekerja berkemahiran tinggi sudah pasti akan meningkat setiap tahun kerana lebih banyak pelaburan asing berasaskan teknologi akan masuk ke Malaysia.

Iklan
Iklan

"Tahun lepas kerajaan telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), yang menerusi pelaksanaan 10 projek peralihan tenaga akan menarik pelaburan berjumlah RM25 bilion, mewujudkan kira-kira 23,000 pekerjaan dan membantu Malaysia mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050.

"Ia juga bermakna kita perlu latih lebih ramai juruteknik mahir untuk penuhi keperluan perusahaan dan membantu Dasar Kebangsaan Industri 4.0 Malaysia," katanya semasa berucap di majlis pelancaran Pameran Pendidikan Vokasional Malaysia-China Universiti Merdeka Berhad (MUB) 2024 di Kuala Lumpur.

Iklan

Sementara itu, Lih Kang berkata, Pameran Pendidikan Vokasional MUB Malaysia-China 2024 yang memasuki tahun ketiga menyediakan pelbagai saluran bagi pelajar melanjutkan pelajaran dan mendapatkan khidmat perundingan, membantu negara dalam melatih lebih ramai bakat-bakat bidang teknikal.

Beliau menjelaskan, acara tahun ini adalah penting kerana ia disenaraikan sebagai salah satu aktiviti khas bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.

Iklan

Pada masa yang sama, beliau berkata, MUB dan rakan-rakan kongsinya sebagai jawatankuasa penganjur acara ini akan menawarkan biasiswa bernilai RM10 juta yang akan membuka peluang kepada 500 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di China.

"Tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dan saya percaya kedua-dua negara telah melakukan banyak usaha sama mendalam dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, ekonomi, teknologi dan pendidikan.

"Saya berharap pameran ini dapat memudahkan penyertaan lebih ramai belia Malaysia dalam pelbagai jurusan latihan vokasional dan seterusnya memasuki sektor pekerjaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada petugas bukan teknikal dalam kalangan pekerja asing," katanya. - Bernama