Berbaki seminggu sahaja umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, Chapter Alumni YOSH Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Kelab Mahasiswa Fakulti Pengajian Pendidikan (FEDSSCO) UPM menganjurkan Program ‘Homeless Care’ bertempat di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.
Seramai 60 orang sukarelawan UPM terdiri daripada kalangan mahasiswa dan alumni pelbagai latar belakang pendidikan menyantuni golongan gelandangan di sini serta merasai pengalaman berbuka puasa bersama mereka.
Mahasiswa tahun dua di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Asyraf berkata, Homeless Care yang disertai buat pertama kali pada Ramadan kali ini sangat bermakna dan memberi kesan yang mendalam buat dirinya.
"Berbuka bersama mereka yang kurang bernasib baik mengajar kita untuk lebih bersyukur dengan nikmat yang dikecapi selama ini.
"Ini merupakan pengalaman yang tidak akan saya lupakan. Ia membuatkan saya bertekad untuk menjadi orang yang bermanfaat kepada masyarakat sekeliling,” kata Asyraf.
Program seumpama ini dapat melahirkan mahasiswa yang prihatin kepada masyarakat sekeliling dan memupuk sikap empati terhadap mereka yang memerlukan.
Warga UPM juga merasai sendiri pengalaman berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan dan kurang bernasib baik di samping memupuk ikatan silaturahim di antara pelajar dan masyarakat.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk berbuka puasa bersama, edaran moreh, kuiz Ramadan dan kad ucapan raya membabitkan lebih 70 ahli rumah transit sekitar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Pengerusi Chapter Alumni YOSH UPM, Asyiqin Ramli berkata, program sebegini memberi peluang kepada para mahasiswa untuk menyelami kehidupan sebenar masyarakat di luar sana selain memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mereka.
"Apabila bersama dengan golongan ini dan menyelami perasaan mereka, barulah kita sedar bahawa mereka juga memiliki keinginan untuk berdikari dan impian membina kehidupan yang lebih sempurna.
"Diharapkan nilai tambah, empati dan syukur dapat diterapkan kepada pelajar UPM dan dapat memberi impak yang besar dalam diri dan juga masyarakat sejagat," katanya.