Semangat kebersamaan warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dizahirkan melalui Majlis Khatam Al-Quran peringkat USIM sempena Nuzul Quran di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), Khamis lalu.
Majlis anjuran Pusat Islam USIM itu dihadiri 300 peserta yang terdiri daripada kakitangan kampus, mahasiswa, komuniti setempat dan tujuh orang kurang upaya (OKU) pekak.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), USIM, Profesor Dr Mohd Radhi Ibrahim, Khatam al-Quran ini bukanlah sekadar acara tahunan sebaliknya ia satu himpunan memperkukuhkan ukhuwah warga kampus dalam meningkatkan bacaan al-Quran sepanjang Ramadan.
"Ia adalah titik permulaan untuk lebih banyak perkongsian ilmu dan kebajikan dalam kalangan komuniti USIM dan sekitarnya," ujarnya.
Majlis Khatam Al-Quran memperlihatkan peserta tadarus diberikan masa satu jam untuk menghabiskan satu juzuk al-Quran.
Manakala, johan qari Perak yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunah USIM, Dr Anuar Hasin memimpin majlis penutup dengan bacaan khatam al-Quran.
Selain aktiviti bertadarus, penganjur juga menyediakan pameran Sirah Nabi, kaunter Bank Islam dan kaunter zakat fitrah sebagai menambahkan dimensi keilmuan dan kemanusiaan kepada mereka yang hadir.