Terengganu merupakan negeri pelancongan yang terkenal dengan keindahan semula jadi, warisan budaya dan kehidupan komuniti yang seimbang antara kehidupan moden dan tradisional.
Terengganu berpotensi menjadi destinasi utama bagi pelancong yang mencari pengalaman pelancongan yang menenangkan, lagi unik. Antara tempat-tempat pelancongan yang sering dikunjungi seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Lang Tengah, Pantai Batu Burok, Pantai Telok Ketapang, Pantai Air Tawar, Tasik Kenyir, Air Terjun Chemerong, Air Terjun Lata Belatan, Santuari Kelah, Pusat Santuari Penyu Rantau Abang, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Masjid Kristal, Masjid Terapung dan banyak lagi.
Bagi tahun 2024, kerajaan negeri menyasarkan 4.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara melancong ke negeri Terengganu. Ia membuka peluang besar bagi pembangunan rumah penginapan pelancongan.
Bertepatan sebagai 'Negeri Cantik, Budaya Menarik, Orangnya Baik-baik', rumah penginapan di Terengganu lazimnya menawarkan gabungan antara keselesaan (dari kesesakan bandar), pengalaman budaya tempatan, keramahan penduduk tempatan dan harga yang berpatutan, menjadikan rumah inap di Terengganu sebagai pilihan popular dalam kalangan pelancong.
Lapan daerah di Terengganu
Kuala Nerus, merupakan daerah kelapan dan terbaru di Terengganu, menawarkan keunikan yang dicari oleh kebanyakan pelancong.
Daerah ini pada asalnya terletak dalam Kuala Terengganu, namun pada tahun 2014, sejumlah 65 peratus daripada kawasan Kuala Terengganu diisytiharkan sebagai Daerah Kuala Nerus (sumber: Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus).
Kini, Kuala Nerus menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong dari perkampungan nelayan, pesisir pantai yang putih, taman laut sehingga ke pulau dengan keindahan menakjubkan seperti Pulau Redang, Pulau Bidong dan Pulau Lang Tengah.
Uniknya, Kuala Nerus bukan sahaja lembah ilmu (terletaknya pelbagai pusat pengajian seperti universiti, institusi pengajaran, politeknik, maktab rendah sains mara, dan sekolah sukan), malah merupakan ‘Pintu Gerbang’ utama ke negeri Terengganu kerana terdapatnya Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Pulau Redang (pulau terbesar di pantai timur), serta ‘pintu keluar’ Lebuhraya Pantai Timur (LPT) II.
Keunikan Kuala Nerus termasuk lokasinya yang strategik telah meningkatkan lagi bilangan rumah-rumah inap. Walaupun akhir-akhir ini terdapat juga peningkatan kes-kes melibatkan penipuan tempahan sewaan rumah inap (rumah inap tidak wujud), namun dengan strategi dan kerjasama antara pihak berkepentingan tempatan, industri pelancongan, dan kerajaan, hasrat untuk memaksimumkan potensi rumah inap sebagai sumber pendapatan tambahan bagi penduduk tempatan dapat dilaksanakan.
Sebagai contoh, pengurusan tempahan secara digital adalah aspek penting dalam pembangunan pendigitalan rumah inap khususnya di bandar baharu atau kawasan yang sedang berkembang seperti Kuala Nerus.
Dengan adanya platform atas talian yang menyediakan maklumat tentang ketersediaan penginapan, aktiviti tempatan, tempat menarik serta pakej pelancongan, para pelancong dapat merancang lawatan mereka dengan lebih mudah.
Mudahkan pelancong
Pendigitalan juga membolehkan pembangunan aplikasi interaktif yang memberikan pendedahan kepada pelancong tentang budaya tempatan, termasuk makanan tempatan dan adat istiadat.
Melalui aplikasi interaktif ini, para pelancong dapat mengakses panduan pelancongan secara digital sekali gus meningkatkan tarikan serta memudahkan lagi pelancong untuk menjelajah sesebuah kawasan.
Justeru, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di bawah pembiayaan dana dari Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme (KTAGS) menganjurkan empat siri bengkel melibatkan lebih 100 pengusaha rumah inap di Kuala Nerus, di mana setiap bengkel mempunyai fokus tersediri; iaitu pengiklanan di Google Business, pembangunan laman web, pengiklanan di media sosial (Facebook, Instagram, dan TikTok), serta akta dan perundang berkaitan rumah inap.
Bengkel-bengkel ini bertujuan meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran pengusaha rumah inap Kuala Nerus dalam melaksanakan pendigitalan pelancongan di Terengganu, selari rancangan transformasi digital Terengganu dan kerajaan Malaysia.
Dengan usaha-usaha pemerkasaan pendigitalan rumah inap di Kuala Nerus ini, bukan sahaja para pengusaha rumah inap mendapat pendedahan terhadap teknologi agar terus berdaya saing, malah komuniti tempatan memperoleh manfaat melalui peningkatan pendapatan serta ekonomi tempatan dengan kehadiran pelancong.
Di era yang terus berkembang ini, integrasi teknologi dalam industri pelancongan adalah penting bagi memastikan kelestarian dan keunggulan Kuala Nerus sebagai salah satu destinasi pelancongan terkemuka bukan sahaja di Terengganu dan Malaysia, malah seluruh dunia.
Maklumat Penulis
Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Siti Nur 'Atikah Zulkiffli dan Dr Nur Amalina Mohamad Zaki
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my