Perubahan demi perubahan dalam teknologi yang melanda dunia hari ini merupakan perkembangan kepada transformasi yang melanda peringkat global.
Perubahan ini mahu atau tidak adalah satu proses yang perlu dilalui oleh semua peringkat masyarakat.
Terbaharu, kecerdasan buatan (AI) yang sebelum ini hanya digambarkan dalam tayangan filem barat mula memberi kesan terhadap kehidupan dan pembangunan manusia hari ini.
AI bukanlah sesuatu yang baru, sebaliknya sudah wujud sejak berpuluh tahun lalu, namun dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, tahap keupayaan teknologi itu begitu pesat dipacu oleh perkembangan teknologi pengkomputeran dan digital.
Dalam usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengikuti arus perubahan semasa ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembentukan AI Sandbox merupakan satu usaha Malaysia yang bersedia untuk menjadi sebuah hub industri berteknologi tinggi, berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi dan menjadi juara serantau dalam bidang AI secara lebih strategik dan holistik.
"NVIDIA yang merupakan sebuah syarikat teknologi multinasional menjadi perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan antara lima syarikat terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.
"Kerjasama dengan MRANTI ini juga merupakan susulan daripada kesediaan NVIDIA untuk melabur di Malaysia dalam bidang AI ketika pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tempoh hari,” ujarnya seperti dipetik dari Facebook rasmi beliau, pada Khamis.
Difahamkan, kenyataan dikeluarkan ketika Zambry hadir pada Majlis Pelancaran AI Sandbox NVIDIA bersama MRANTI yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Mengulas lanjut, Zambry turut memaklumkan mengenai peranan dan tindakan sedang diambil KPT bagi memastikan Malaysia berada pada kedudukan tepat dalam perkembangan AI yang berlaku di seluruh dunia.
Antaranya kata Zambry, penubuhan Fakulti AI pertama di Malaysia yang sedang dibangunkan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pada masa sama, di peringkat KPT beberapa tindakan sedang dilakukan bagi menunjukkan bahawa kesediaan (readiness) Malaysia bersama-sama mengharungi cabaran AI.
Dalam pada itu, Zambry tidak ketinggalan berkongsi dengan hadirin tentang kunjungan beliau bersama Perdana Menteri ke MASDAR City dan Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI) yang terletak di MASDAR City, baru-baru ini.
Ulasnya, delegasi Malaysia ke sana adalah untuk melihat bagaimana pembangunan AI yang dilakukan di sini.
Selepas mendapat pencerahan, ujar Zambry, Perdana Menteri telah mengarahkan untuk setiap kementerian dan agensi berkaitan untuk menggerakkan usaha AI di pelbagai peringkat termasuklah di KPT.
"Kita tidak lagi bekerja secara silo. Ini adalah masa semua pihak duduk bersama dan KPT sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk melangkaui antara kementerian bagi memastikan Malaysia menjadi 20 negara teratas terkait AI,” tutur Zambry.