Hubungan bilateral global menerusi pendidikan, kebudayaan

Iklan
Para peserta Semarak Siswa @ Turkiye 2024 bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas. Gambar kecil: Nurul Aisyah.

Pendidikan merupakan salah satu jambatan untuk memperkuat hubungan antarabangsa dan ia terbukti dalam program Semarak Siswa @ Turkiye 2024.

Dalam satu perjalanan yang bermanfaat, seramai 13 pelajar dan diiringi dua pegawai pengiring dari Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Universiti Putra Malaysia (UPM), berpeluang peluang merasai pengalaman pembelajaran dan menyelami budaya di bumi Turkiye bermula 1 Mac lalu.

Iklan
Iklan

Program selama dua minggu itu, bukan sekadar tentang pembelajaran di Universiti Pertukaran (Kocaeli University) tetapi ia pengalaman holistik yang membuka mata pelajar kepada keindahan dan kepelbagaian dunia luar.

Dengan sokongan penuh daripada Pengurusan Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Pusat Antarabangsa Putra (i-Putra), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat, dan Endowmen (Wazan) UPM serta rakan kolaborasi Sinar Harian, Sinar Bestari, Batik Air, Tumbuh Malaysia, MyFundAction, YOSH MyFundAction dan Malaysian Student Association in Turkiye (Masat), program ini menjadi sumber inspirasi kepada para pelajar untuk menimba pengalaman baharu.

Iklan

Pelajar tidak hanya diberi peluang melawat setiap kemudahan, tempat bersejarah dan meneliti cara pembelajaran di Kocaeli University, tetapi terlibat dalam pelbagai aktiviti pertukaran budaya seperti pertukaran bahasa, makanan dan tarian tradisional.

Dari sesi perkenalan dan perbincangan bersama pelajar Kocaeli University, hingga kunjungan ke tempat bersejarah, setiap pengalaman memberikan kesan yang mendalam kepada pelajar UPM.

Iklan

Penyelaras Unit Hubungan Antarabangsa Kocaeli University, Profesor Banu İnan Karagül mengakui berbesar hati untuk meneruskan lebih banyak peluang kelak, bagi mengekalkan hubungan bilateral antara UPM dan Kocaeli University.

"Melalui program pertukaran ini, saya melihat potensi pelajar dalam mempelajari aspek terperinci kebudayaan masing-masing dan sekali gus memberi peluang kepada kedua-dua institusi membincangkan kerjasama lebih lanjut kelak.

"Menandatangani Memorandum Persefahaman Antarabangsa antara dua institusi adalah harapan saya,” ujar beliau.

Para peserta bergambar bersama anak-anak Syria di Sekolah An-Nakhba.


Bersama anak Syria

Bukan itu sahaja, pelajar juga terlibat dalam projek sukarelawan melalui lawatan ke Sekolah An-Nakhba yang merupakan sebuah sekolah anak-anak Syria yang terletak di Kota Istanbul.

Pelajar UPM disambut baik oleh staf dan pelajar sekolah itu. Meskipun mereka menghadapi pelbagai cabaran hidup tetapi semangat dan keceriaan tidak terbendung.

Pengetua Sekolah An-Nakhba, Taghreed berkata, dirinya pernah merasakan untuk berputus asa dalam menguruskan sekolah itu disebabkan masalah tertentu terutamanya kewangan. Namun, beliau tidak mengikut kata hati atas dasar tanggungjawab kepada anak-anak Syria di sekolah tersebut.

"Saya sangat gembira dan bersyukur kepada ALLAH SWT atas kunjungan warga UPM. Walaupun saya pernah berada di fasa berputus asa, saya bangkit mempertahankan sekolah ini atas dasar tanggungjawab yang tidak mungkin saya boleh abaikan," katanya.

Pelbagai aktiviti berunsurkan tradisional Malaysia telah diperkenalkan seperti bermain permainan 'capteh' bersama sehingga beraktiviti seni dan kraftangan dilakukan untuk memberi dukungan dan seterusnya mengeratkan hubungan silaturrahim bersama anak-anak Syria An-Nakhba.

"Salah satu perkara yang paling terkesan bagi kami adalah keteguhan semangat dan kegigihan anak-anak Syria An-Nakhba dalam menimba ilmu. Meskipun mereka menghadapi cabaran, mereka tidak pernah hilang harapan atau semangat untuk belajar," kata Pengarah program, Nor Irdhina Khairodze.

Pelajar UPM bersama pelajar Kocaeli University ketika mengunjungi Benteng Istana Eskihisar.

Hospitaliti Profesional

Pelajar menjelajahi pelbagai aspek kehidupan di Turkiye termasuk pengalaman unik di Bilnet Private School.

Salah satu perkara yang memberi manfaat kepada pelajar adalah hospitaliti dan layanan profesional yang disajikan kepada pelajar sebagai tetamu.

Saat tiba di Bilnet Private School, senyuman ramah dan sapaan sopan yang diterima daripada pihak pengurusan dan tenaga pengajar memberi kesan amat positif yang tidak mungkin boleh dilupakan.

Pelajar diberi kesempatan untuk melihat infrastruktur sekolah yang canggih dan fasiliti yang tersedia.

"Saya sangat kagum dengan kelengkapan bilik darjah, makmal sains yang moden dan ruang olahraga yang canggih. Bukan sahaja fasiliti yang memenuhi keperluan akademik dan ekstrakurikuler pelajar, tetapi juga menunjukkan komitmen Bilnet Private School terhadap standard kualiti yang tinggi dalam pendidikan”, ujar Penasihat dan Pegawai Pengiring Program, Aimi Nadhirah Roslan.

Namun, apa yang benar-benar memberi kesan mendalam adalah interaksi dua hala antara pelajar dan pihak Bilnet Private School.

Mereka tidak hanya ramah dan berpengalaman, tetapi juga sangat peduli akan layanan bertaraf profesional terhadap tetamu. Ciri-ciri yang ditunjukkan memberi contoh dan teladan kepada pelajar untuk dirujuk dan dimanfaatkan pada masa akan datang.

Salah satu aspek yang membezakan program Semarak Siswa @ Turkiye 2024 ini adalah sokongan daripada pihak berkepentingan dan rakan kolaborasi.

Dengan kolaborasi yang kukuh antara institusi pendidikan, media, syarikat penerbangan dan pertubuhan masyarakat, warga Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM telah membina jaringan melintasi sempadan dan memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan Turkiye.

Semarak Siswa @ Turkiye 2024 membawa harapan bagi membuka pintu kepada lebih banyak peluang pertukaran pelajar di masa hadapan tetapi juga berperanan sebagai pemangkin dalam mengukuhkan hubungan erat antara Malaysia dan Turkiye.

Maklumat Penulis

Setiausaha Program Semarak Siswa @ Turkiye 2024, Kolej Tan Sri Aishah Ghani, UPM, Nurul Aisyah Mohd Nor

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my