Dalam dunia pendidikan tinggi yang serba pantas dan kompetitif, pelajar universiti berdepan dengan pelbagai tekanan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka.
Kejayaan akademik sering dijadikan ukuran utama kecemerlangan, namun dalam keghairahan mengejar gred dan pencapaian, majoriti pelajar terlupa bahawa kesihatan mental adalah tunjang utama kepada keseimbangan hidup.
Tekanan akademik, beban tugasan dan tekanan sosial menjadi sebahagian daripada rutin harian pelajar masa kini.
Justeru, penting untuk setiap pelajar termasuklah penulis sendiri untuk memahami bahawa mengutamakan kesihatan mental bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah bijak dalam memastikan kejayaan yang berpanjangan dan seimbang.
Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar semakin membimbangkan di Malaysia dan seluruh dunia.
Statistik United Nations Children's Fund (UNICEF) menunjukkan hampir tiga daripada 10 pelajar universiti di Malaysia pernah mengalami simptom tekanan, keresahan atau kemurungan akibat beban akademik dan masalah peribadi.
Tekanan ini sering berpunca daripada tuntutan tinggi untuk mengekalkan prestasi cemerlang, kekangan kewangan dan kurangnya masa rehat.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila pelajar turut bergelut dengan isu perbandingan sosial di media sosial yang memperlihatkan kejayaan rakan-rakan lain, lalu mewujudkan rasa rendah diri dan keletihan emosi yang berpanjangan.
Selain itu, gaya hidup pelajar yang tidak seimbang turut menyumbang kepada kemerosotan kesihatan mental.
Ramai yang mengabaikan keperluan asas seperti tidur yang mencukupi, pemakanan sihat, dan aktiviti fizikal kerana terikat dengan jadual belajar yang padat.
Kajian menunjukkan pelajar yang tidur kurang daripada enam jam sehari mempunyai risiko dua kali ganda untuk mengalami simptom tekanan dan keletihan berbanding mereka yang tidur secukupnya.
Gaya hidup kurang aktif, ditambah dengan tabiat menunda kerja, hanya memburukkan keadaan dan mengurangkan produktiviti pelajar.
Kesan kesihatan mental terhadap prestasi akademik tidak boleh dipandang ringan.
Kajian World Health Organisation (WHO) ada menyatakan pelajar yang mengalami tekanan emosi berterusan cenderung kehilangan fokus dan motivasi untuk belajar.
Dalam jangka panjang, prestasi mereka boleh menurun sehingga 20 peratus berbanding pelajar yang mempunyai kesejahteraan mental stabil.
Tekanan bukan hanya menjejaskan keputusan peperiksaan, tetapi juga mempengaruhi keupayaan pelajar berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah dan berinteraksi dengan rakan sebaya.
Lebih membimbangkan, ada pelajar yang memilih untuk berdiam diri kerana takut dihakimi atau dianggap lemah oleh masyarakat sekeliling.
Walau bagaimanapun, tidak semua tekanan membawa kesan negatif.
Tekanan dalam kadar sederhana boleh menjadi pendorong untuk pelajar lebih berdisiplin dan fokus.
Apa yang penting ialah bagaimana pelajar mengurus tekanan tersebut.
Mengamalkan teknik pengurusan masa yang berkesan, menetapkan keutamaan dan memberi ruang kepada diri untuk berehat adalah langkah penting dalam mengekalkan keseimbangan antara pelajaran dan kesihatan mental.
Pelajar yang mampu mengenal pasti tanda awal tekanan emosi lebih cenderung untuk mencari jalan penyelesaian yang sihat, sama ada melalui aktiviti riadah, sokongan sosial atau khidmat kaunseling.
Penulis percaya menjaga kesihatan mental akan memberi kesan positif kepada kehidupan pelajar.
Apabila kesejahteraan emosi dijaga, pelajar lebih mudah menumpukan perhatian dalam kuliah, berfikir secara rasional dan berkomunikasi dengan lebih baik.
Mereka juga mampu membuat keputusan yang bijak, mempunyai empati terhadap orang lain dan mengurus masa dengan lebih teratur.
Dalam jangka panjang, pelajar yang mengekalkan kesihatan mental yang baik bukan sahaja mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga keseimbangan dalam kehidupan peribadi dan sosial mereka.
Namun begitu, isu stigma terhadap kesihatan mental masih menjadi halangan utama.
Ramai pelajar enggan mendapatkan bantuan kerana bimbang dipandang serong atau dilabel tidak stabil.
Masyarakat dan institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan penting dalam menghapuskan stigma ini dengan mewujudkan suasana kampus yang lebih terbuka dan menyokong.
Perkhidmatan kaunseling, program kesedaran dan inisiatif kesejahteraan pelajar perlu diperkasa agar setiap pelajar tahu bahawa mendapatkan bantuan bukan tanda kelemahan, tetapi langkah keberanian untuk menjaga diri.
Kesimpulannya, kesihatan mental merupakan asas kepada kejayaan akademik dan kesejahteraan hidup pelajar.
Minda yang sihat membantu pelajar berfikir secara jernih, membuat keputusan yang bijak serta menghadapi cabaran dengan tenang.
Kecemerlangan sebenar bukan hanya diukur melalui gred dan anugerah, tetapi juga melalui keseimbangan emosi dan ketahanan diri dalam menghadapi tekanan hidup.
Oleh itu, pelajar perlu mengamalkan gaya hidup seimbang, mengurus tekanan dengan bijak dan tidak takut untuk mendapatkan sokongan apabila diperlukan.
Apabila kesihatan mental diberi keutamaan, kejayaan akademik akan datang dengan lebih bermakna, bukan sebagai beban, tetapi sebagai hasil daripada minda yang kuat dan sejahtera.
Maklumat penulis:
1) Pelajar Pengajian Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau, Iffah Maisarah Izzati Mohd Izam
2) Ketua Unit Media dan Kewartawanan, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Suriayati Baharom
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my