Susun semula program lawatan

Iklan
Fadhlina bersama pelajar sekolah melawat beberapa kawasan tarikan di Bukit Bendera sempena Program Warisan UNESCO Pulau Pinang pada Sabtu.

Berikutan pindaan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah yang dikuatkuasakan tahun lalu

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap pihak sekolah dapat menyusun semula program lawatan dan aktiviti di luar kelas berikutan pindaan Garis Panduan Lawatan Murid Sekolah yang dikuatkuasakan pada tahun lalu.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, mengikut pindaan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM Bilangan 9, lawatan pada masa ini dibenarkan hingga dua kali setahun bagi setiap murid mengikut keperluan dan kesesuaian.

Iklan
Iklan

"Dengan adanya garis panduan yang baharu tentang lawatan, kita harap sekolah-sekolah boleh menyusun kembali program-program khususnya di tapak Program Warisan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kita nak ramai lagi anak-anak kita mengikuti pelajaran di luar kelas supaya perspektif, pengalaman dan kemahiran-kemahiran dapat di luar kelas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Warisan UNESCO Pulau Pinang di Bukit Bendera, Pulau Pinang pada Sabtu.

Iklan

Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) berkata, KPM dalam proses untuk memperkenalkan semula Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO dalam kalangan murid sekolah.

Beliau berkata, setakat ini, KPM telah membuat program lawatan ke Tapak Warisan Dunia UNESCO di Banda Hilir, Melaka diikuti Pulau Pinang dan seterusnya ke Sabah serta Sarawak.

Iklan

Beliau yakin program lawatan Tapak Warisan Dunia bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap sejarah tetapi juga Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memandangkan biodiversiti antara tajuk yang perlu dikuasai murid.

"Ini adalah komitmen saya sebagai Presiden Suruhanjaya UNESCO Malaysia dan kita mahu libatkan anak-anak kita khusus pelajar-pelajar sekolah kita menjadi advokator dan juga duta UNESCO,” katanya lagi.

SPI garis panduan berkenaan yang dipinda pada 16 Jun tahun lepas dan berkuat kuasa serta-merta memberi penjelasan tentang tatacara pelaksanaan aktiviti lawatan murid.

Garis panduan berkenaan terpakai bagi peringkat pendidikan prasekolah hingga peringkat pendidikan lepas menengah selain institusi pendidikan swasta yang berdaftar dengan KPM juga disaran untuk merujuk garis panduan itu.

Garis panduan itu juga menjelaskan lawatan murid sekolah yang dirancang hendaklah diadakan untuk program akademik atau kokurikulum, pertandingan atau perkhemahan, lawatan sambil belajar atau program dan aktiviti lain yang ditentukan pelulus.