Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menaja dan membantu proses pendaftaran harta intelek bagi produk yang dihasilkan dua pelajar sekolah dari Sabah yang meraih anugerah Best of The Best Award pada Perlis International Engineering Invention & Innovation Exhibition 2024 (Pi-ENVEX).
Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli berkata, universiti itu akan membiayai proses mendaftarkan harta intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) hasil inovasi pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah (SM) St Michael Penampang, Sabah itu.
Beliau berkata, ia bagi melindungi hak milik kreativiti mereka dalam menghasilkan dakwat daripada minyak masak terpakai.
"UniMAP akan membantu memudahkan proses pendaftaran harta intelek agar produk terbaik itu menjadi hak cipta penuh penyelidik dan sekolah berkenaan serta terpelihara kerana kita mahu produk terbaik yang berjaya menambat hati juri profesional ini dapat dimanfaatkan pada masa hadapan.
"Kejayaan mereka bukan sahaja membanggakan pihak sekolah dan UniMAP sendiri sebagai penganjur, bahkan menarik perhatian ramai pihak sekali gus membuktikan bahawa produk inovasi yang dihasilkan pelajar sekolah turut diiktiraf," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya UniMAP juga akan berhubung dengan MyIPO bagi memastikan proses pendaftaran produk inovasi mereka berjalan lancar bagi mengelakkan ia diciplak oleh pihak lain.
Sebelum ini, produk yang diberi nama 'INFILUX-Turning Pollution into Poetry' dihasilkan Dyna Anne Charles Tami, 16, dan Germaine Amisha Alvin, 16, berjaya menewaskan 206 produk yang dipertandingkan di Pi-ENVEX 2024 anjuran UniMAP yang berakhir Ahad lepas.
Produk itu tercetus apabila mereka mahu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan sungai daripada minyak terpakai dengan mencampurkan bahan asli seperti getah Arab, alkohol, lesitin soya, air dan pigmentasi dalam alat separa manual yang dicipta sendiri.
Pi-ENVEX 2024 yang berlangsung tiga hari itu turut disertai pelajar dari luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Jerman, Poland, Mesir dan Romania. - Bernama