Keadaan cuaca panas melampau yang dihadapi penduduk sekitar Asia sejak awal tahun 2024 ini, amat membimbangkan.
Situasi ini dilihat semakin menjadi topik utama yang hangat diperbincangkan apabila melibatkan laporan kehilangan nyawa disebabkan oleh strok haba. Laporan dari sumber portal berita antarabangsa AFP berjudul Air Temperature from the Global Deterministic Prediction System, Environment and Climate Change Canada menyatakan benua Asia menunjukkan peningkatan bermula 33 sehingga 45 darjah Celcius yang merekodkan angka tertinggi berbanding suhu sebelum ini.
Namun, dari aspek alam sekitar, kes kematian ikan dan juga kebakaran hutan menjadi faktor yang memburukkan lagi keadaan fenomena ini.
Laporan menyatakan kes kematian ikan sangkar di Pahang seperti yang dilaporkan sebelum ini mempunyai saling kaitan dengan fenomena berkenaan bakal memberi impak buruk kepada produktiviti penghasilan sumber perikanan.
Selain itu, kebakaran hutan yang berlaku memberi kesan kepada habitat asal haiwan yang telah lama mendiami kawasan tersebut.
Hal ini menyebabkan berlakunya gangguan habitat yang menjejaskan penghijrahan populasi haiwan ke kawasan lain sekali gus mengganggu gugat keselamatan penduduk setempat yang berdekatan dengan kawasan hutan.
Kes kebakaran hutan juga mencetuskan impak kepada mutu kualiti udara yang mendatangkan kesan langsung kepada tahap kesihatan masyarakat.
Punca berlakunya kebakaran hutan ini masih belum dikenal pasti dan langkah drastik perlu diambil bagi mengatasi masalah berkenaan berlarutan.
Isu peningkatan suhu memang di luar kawalan kita tetapi perlu ada inisiatif bagaimana untuk mengatasinya melalui kaedah dan inovasi yang mampu menyelesaikan isu global ini.
Antara langkah-langkah biasa diambil untuk atasi kebakaran hutan semasa cuaca panas termasuk melalui pencegahan awal dengan menyalurkan maklumat kepada orang ramai tentang bahaya kebakaran hutan dan tindakan pencegahan seperti tidak membakar sampah sembarangan atau membuang puntung rokok di kawasan yang berpotensi cetus kebakaran seperti kawasan rumput serta hutan yang mempunyai daun kering.
Selain itu, pemantauan secara berkala perlu dipergiat bagi memantau kawasan berpotensi terbakar dengan menggunakan teknologi seperti satelit dan dron untuk mengesan titik panas atau kebakaran yang mungkin berlaku.
Tindakan pemadaman yang efektif perlu disediakan untuk memastikan tatakelola pemadaman dapat dilakukan dengan segera dengan menghantar pihak berkuasa ke lokasi dan menggunakan peralatan pemadaman yang sesuai.
Kerjasama antara pihak pemegangtaruh berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak Jawatankuasa Pemantauan Keselamatan Kampung (JPKK) dan masyarakat setempat penting demi untuk sama-sama mengembleng tenaga dalam mengatasi isu ini.
Langkah untuk melakukan pengasingan dan pemindahan penduduk perlu dibuat jika perlu dan memberikan perlindungan kepada spesies haiwan liar yang terancam.
Pihak penguat kuasa tempatan perlu memberikan pengetahuan dan maklumat terkini kepada masyarakat tentang cara-cara untuk bertindak dengan selamat semasa musim panas dan pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar.
Ia hanya beberapa langkah yang boleh diambil, tetapi kerjasama dan persediaan yang baik dari semua pihak amat penting dalam menangani masalah ini dari berlarutan.
Maklumat Penulis
TImbalan Ketua Pegawai Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd Ihwan Bin Zakariah
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my