Bantuan Khas Bencana sebanyak RM25,000 telah disumbangkan kepada mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terkesan akibat insiden kebakaran di Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, universiti itu, Ahad lalu.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sumbangan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Yayasan Perkasa Siswa merupakan tambahan dan pelengkap kepada bantuan yang disediakan pihak UniMAP sendiri bernilai lebih RM200,000 bagi urusan kebajikan penuntut terutamanya melibatkan penempatan sementara.
"Saya mewakili seluruh warga kementerian mendoakan agar mangsa sentiasa sabar, tabah dan diberi kekuatan mendepani ujian yang menimpa serta semoga semua urusan pelajar dalam meneruskan kehidupan, pengajian dan pembelajaran dipermudahkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan berkenaan, Profesor Dr Azlinda Azman kepada Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr Zaliman Sauli, di Putrajaya pada Isnin.
Terdahulu, sebanyak 26 motosikal penuntut UniMAP yang diparkir di kawasan parkir asrama lelaki Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, terbakar awal pagi Ahad.
Kejadian dipercayai berlaku jam 4.40 pagi itu turut membabitkan kerosakan kecil 10 motosikal penghuni asrama berkenaan.
Enam buah unit kediaman asrama penuntut di blok itu juga turut terkesan dalam kebakaran yang sama.