Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini membuka pencalonan secara rasmi bagi tiga anugerah yang dipertandingkan bermula 13 Mei hingga 12 Julai 2024.
KPT dalam kenyataan media memaklumkan, tiga anugerah itu adalah Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 (ATABM 2024), Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu 2024 (ATHABM 2024) dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2024 (ATBMST 2024).
Difahamkan, pencalonan bagi ATBMST 2024 dikhaskan bagi mengiktiraf ahli akademik yang memartabatkan bahasa Melayu dalam bidang teknikal di peringkat politeknik dan kolej komuniti.
Individu yang diangkat sebagai pemenang akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 bagi kategori ATABM 2024.
Manakala kategori ATHABM 2024 dan ATBMST 2024, masing-masing sebanyak RM5,000 termasuk piala iringan dan sijil.
Melalui penganugerahan ini, KPT berusaha mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan akan kekal memartabatkannya sebagai wahana pembangunan ilmu, penyampaian maklumat dan komunikasi di Malaysia.
Mengulas lanjut, KPT percaya penganugerahan tahunan itu bertujuan mengiktiraf usaha dan inisiatif ahli-ahli akademik merentasi universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara yang mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai wahana penyelidikan, penerbitan, pengajaran dan khidmat iktisas kepada masyarakat dalam pelbagai bidang ilmu, merangkumi sains sosial serta sains dan teknologi.
Ujar kementerian ini lagi, sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2012, seramai 10 tokoh akademik telah dinobatkan sebagai penerima ATABM, dua individu kategori ATHABM dan empat orang ATBMST.
Akhir sekali, kepada mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan pertanyaan, layari https://atabm.mohe.gov.my atau hubungi urus setia melalui e-mel atabm@mohe.gov.my.