Misi Johor capai STEM 60 peratus bakal tercapai

Iklan
JPN Johor dan KPM sentiasa berusaha membangunkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran dalam aliran STEM. (Gambar hiasan)

Peratus enrolmen pelajar Tingkatan Empat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Johor merekodkan 50.24 peratus sejak Januari hingga Mac lalu.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, angka itu menunjukkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor) dan Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha membangunkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran dalam aliran tersebut.

Iklan
Iklan

"Sepanjang tahun lepas, peratus enrolmen pelajar STEM Tingkatan Empat negeri ini mencatatkan sebanyak 45.73 peratus berbanding 40.94 peratus pada tahun 2022.

"Data ini membuktikan program STEM yang dilaksanakan KPM dan kerajaan negeri menunjukkan hasil positif dan menggalakkan.

Iklan

"Dijangkakan pelaksanaan STEM 60 peratus di Johor akan dicapai pada tahun 2028," katanya ketika menjawab soalan lisan Hasrunizah Hassan (BN-Pulai Sebatang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar pada Selasa.

Hasrunizah ingin tahu peratusan pencapaian pelaksanaan STEM bagi peringkat sekolah rendah dan menengah sehingga kini dan jangkaan masa Dasar Pendidikan Negara berkaitan pelaksanaan STEM 60 peratus dapat dicapai sepenuhnya.

Iklan

JPN Johor dan KPM terus meningkatkan keberkesanan program pendidikan STEM selaras DSTIN 2021-2030, Dasar 4IR Negara dan NIMP 2030. (Gambar hiasan)

Aznan (BN-Tanjung Surat) berkata, JPN Johor dan KPM akan terus meningkatkan keberkesanan program pendidikan STEM selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030, Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak 212 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) dikategorikan sebagai sekolah kritikal dan perlu dibaik pulih segera.

Mohd Fared (BN-Semerah) ketika menjawab soalan lisan Alwiyah Talib (PN-Endau) yang ingin tahu mengenai peruntukan membaik pulih SAKJ daif berkata, sekolah yang dikategorikan kritikal itu antaranya mengalami masalah pendawaian, kerosakan bumbung dan tandas sekolah.

"Melalui peruntukan RM12.5 juta hasil kerjasama kerajaan negeri dengan pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Perbadanan Islam Johor, sebanyak 88 SAKJ dapat dibaik pulih manakala baki 124 sekolah lagi telah dimajukan kepada Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dengan kos RM20 juta," kata Mohd Fared.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan terus memantau SAKJ seluruh negeri bagi memastikan kesemua sekolah itu berada dalam keadaan selamat dan kondusif serta memberi keselesaan kepada 198,375 murid dan 4,799 guru. - Bernama