Monsun Barat Daya: KPM siap siaga garis panduan sedia ada

Iklan
Negara dijangka berdepan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu serta kekurangan hasil pertanian, susulan Monsun Barat Daya.

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa bersiap siaga dan cakna terhadap perubahan cuaca, termasuk Monsun Barat daya yang dijangka bermula bulan ini sehingga September.

Justeru, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan sekolah, diingatkan untuk mematuhi garisan panduan yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Di peringkat kita, kesiapsiagaan itu sentiasa ada. Setakat ini, garis panduan itu mesti dipatuhi, kita sudah beri autonomi kepada sekolah untuk melihat kepada perkembangan cuaca di negeri masing-masing termasuk dari segi pakaian.

"Aktiviti garis panduan kita cukup jelas dan kita minta untuk terus dipatuhi dan dipantau oleh JPN," katanya ketika ditanya mengenai persediaan KPM dalam menghadapi Monsun Barat Daya pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Hari Guru Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, yang menyaksikan lebih 100 warga pendidik menerima anugerah masing-masing.

Fadhlina berkata, pihaknya akan menambah baik garis panduan itu dari semasa ke semasa dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan kementerian lain yang terlibat.

Iklan

Pada Selasa, media melaporkan negara dijangka berdepan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan atau belukar, jerebu serta kekurangan hasil pertanian, susulan Monsun Barat Daya.

Fadhlina ketika sidang akhbar pada Majlis Anugerah Sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2024. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh (kiri) dan Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan (kanan).

Sementara itu, mengenai pendidikan digital, Fadhlina berkata, segala infrastruktur sedang ditambah baik bersama Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Sehingga 1 Mei 2024, seramai 352,265 guru telah disaring untuk mengesan tahap kompetensi digital dan daripada jumlah itu 82,495 berada pada tahap asas manakala 263,659 (tahap pertengahan) dan 6,111 (tahap lanjutan).

Susulan itu katanya, latihan berterusan akan dilaksanakan untuk meningkatkan kompetensi digital guru.

Mengulas mengenai pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Jeram di sini yang berlarutan sekian lama, beliau berkata, kementerian mempunyai komitmen tinggi untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Isu ini melibatkan pemilikan tanah dan melibatkan agensi lain, dan KPM dan JPN sedang berusaha bersama LPS (Lembaga Pengelola Sekolah) untuk menyelesaikan isu ini supaya tidak berbangkit lagi dan sekolah ini dapat beroperasi dengan selesa tanpa memikir isu ini kelak," katanya.

Isu sekolah berkenaan yang turut dikenali sebagai 'sekolah kontena' dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sabai, V Arumugam, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang baru-baru ini yang memohon tindakan segera pihak terlibat menyelesaikan masalah itu. - Bernama