Mencari perejam anak tempatan

Iklan

Atlet pelajar sepak takraw Sekolah Sukan Bukit Jalil kongsi impian mewakili negara ke persada dunia

P•ermainan sepak takraw merupakan salah satu sukan utama di negara ini, malah ia dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

Justeru, pelbagai usaha dilakukan termasuk di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw peringkat sekolah rendah pada tahun 2022.

Iklan
Iklan

Usaha itu bagi mencari bakat dan pelapis sukan sepak takraw pada masa depan.

Hari ini, boleh dikatakan semakin bertambah bilangan atlet pelajar sukan berkenaan yang aktif sama ada dari sudut latihan mahupun perlawanan di peringkat sekolah, KPM atau kebangsaan.

Sinar Bestari bawakan empat atlet pelajar sukan sepak takraw dari Sekolah Sukan Bukit Jalil untuk bercerita mengenai keseronokan bermain dan kesungguhan dalam mencapai matlamat sebagai pemain yang boleh mengangkat nama baik negara suatu hari nanti.

Cerita 1

Muhammad Shahzeen


Muhammad Shahzeen Abd Razak atau lebih mesra dipanggil Shahzeen ialah pelajar Tingkatan Lima Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Dia merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik yang kesemuanya terlibat dalam sukan sepak takraw sejak kecil, memandangkan ayah mereka juga merupakan salah seorang pemain sukan berkenaan.

"Ayah dahulunya bermain sepak takraw untuk daerah dan kampung di Johor. Saya sendiri sejak Tahun Satu sudah diajar bermain sukan ini.

"Sejak itu, rasa semakin seronok bermain apatah lagi melihat dua abang saya berjaya mewakili negara dalam sepak takraw,” katanya.

Ditanya mengenai mengapa memilih untuk terus aktif dalam sukan ini, Shahzeen memberitahu, sepak takraw adalah sukan yang berseni dan ia boleh dilihat menerusi servis, imbangan dan pukulan bola.

Disebabkan itu, dia memasang niat untuk terus bersemangat melatih kebolehan diri dalam sepak takraw, selain berhajat mewakili negara dalam sukan tersebut sama seperti abang-abangnya.

Cerita 2

Muhammad Airell
Iklan


Bagi Muhammad Airell Mohd Ramlee, bermain takraw adalah salah satu cabang kerjaya dalam membina masa depan sebagai atlet yang mampu memecah rekod negara.

Anak keenam daripada enam beradik itu berkata, sejak kecil lagi, dia cukup meminati sepak takraw kerana pada pandangan matanya, sukan ini cukup unik.

"Saya main sejak berusia lapan tahun dan memang minat, selain selalu menonton perlawanan sukan ini di kaca televisyen.

"Saya berharap agar suatu hari nanti dapat bermain untuk negara, selain memecahkan rekod Malaysia dengan mengalahkan Thailand,” kata pelajar Tingkatan Empat itu.

Cerita 3

Muhammad Ariff


Walaupun ditentang ibu bapa untuk bergelar sebagai atlet sepak takraw, dek kerana minat yang mendalam Muhammad Ariff Haikal Mohd Shabidin berjaya mematahkannya.

Kini, sokongan padu yang diberikan menjadi penyuntik semangat buat anak muda ini terus berusaha berlatih demi mencapai impian yang bukan sahaja bagus di gelanggang tetapi juga cemerlang dalam akademik.

"Saya main sepak takraw sejak dari Tahun Enam dan memang minat kerana sukan ini ada seni yang tersendiri yang tiada dalam aktiviti lain.

"Kerana minat juga telah mendorong saya untuk lebih bersemangat dalam mengejar cita-cita menjadi atlet negara satu hari nanti. Insya-ALLAH membawa pulang pingat emas buat negara,” ujarnya.

Cerita 4

Muhammad Zafri


Seakan sama kisahnya dengan Shahzeen, Muhammad Zafri Zamri juga diperkenalkan dengan sukan sepak takraw daripada ayahnya yang merupakan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang suatu ketika dahulu.

Pelajar Tingkatan Empat itu memberitahu, dia sememangnya ingin mengikut jejak langkah si ayah untuk menjadi salah seorang pemain yang bukan sahaja dapat membanggakan keluarga tetapi negara.

"Saya didedahkan dan diajar tentang sukan ini sejak berusia enam tahun oleh ayah.

"Adik beradik saya enam orang iaitu tiga perempuan dan tiga lelaki. Tiga lelaki dalam beradik memang main sepak takraw,” ujarnya.

Keadaan itu sedikit sebanyak menyuntik minat Zafri untuk memilih sukan sepak takraw sebagai salah satu cabang kerjaya dengan menjadi atlet negara yang hebat.

Iklan