Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam (JKNCR UA) yang terdiri daripada 20 Naib Canselor dan Rektor Universiti Awam Malaysia menyokong pendirian Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kekal berpegang kepada Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara153 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, JKNCR UA menyelar tindakan pihak yang sengaja membangkitkan isu kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM dengan melabel institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebagai ‘akademi aparteid’.
Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Ekhwan Toriman berkata, kenyataan tersebut jelas menunjukkan kejahilan pihak berkenaan terhadap Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan tentang kedudukan serta hak bumiputera di Malaysia.
"Dakwaan ini turut mencerminkan kedangkalan serta sifat berat sebelah penulis yang secara tidak langsung, hanya merujuk istilah Bumiputera kepada kaum Melayu semata-mata.
"Sedangkan kaum Bumiputera di negara ini meliputi seluruh masyarakat peribumi Malaysia, termasuklah 'orang Melayu dan semua anak negeri dari mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak' (Perlembagaan Persekutuan, Perkara 153: 163)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ekhwan menambah, seperti mana undang-undang negara yang tidak sesekali diwartakan sebagai bahan gurauan, Perlembagaan Persekutuan juga tidak dibentuk untuk dijadikan bahan sanggahan.
Justeru, seisi pasukan JKNCR UA menyokong kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang menggesa semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat perkauman yang boleh mengucar-ngacirkan polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.
"Kami juga ingin menggesa para penulis di luar sana agar lebih beradab dan berhemah dalam menyampaikan berita,demi keamanan bersama.
"Kita boleh menerima teguran serta pandangan yang membina, tetapi biarlah berdasarkan fakta. Kebebasan bersuara tidak seharusnya disalah guna sehingga mengabaikan adab dan adat selama ini kita pertahankan. Ilmu yang dikongsi seharusnya membawa manfaat dan bukan mengganggu-gugat keharmonian masyarakat dan negara," katanya.