Sesetengah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering beranggapan Tingkatan Enam atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah pilihan terakhir mereka dalam meneruskan pembelajaran.
Ia kerana, Tingkatan Enam dianggap ‘tidak gah’ dan ‘tidak popular’ berbanding melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta (IPT).
Untuk pengetahuan, Tingkatan Enam sebenarnya mempunyai pelbagai kelebihan dan antaranya adalah
1) Terus sambung ijazah
Tingkatan Enam adalah jalan pintas atau platform untuk terus ke ijazah. Ia sama seperti matrikulasi dan asasi cuma lebih tertumpu kepada suasana persekolahan.
2) Tempoh pengajian setahun setengah
Tempoh pengajian yang singkat ini antara faktor menarik bagi meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam. Mereka hanya memerlukan setahun setengah sahaja untuk tamat belajar.
3) Kerja kursus
Kerja kursus di Tingkatan Enam sangat membantu pelajar iaitu sebagai batu loncatan memperoleh keputusan cemerlang. Sekiranya kerja kursus baik dan menarik, guru akan memberi gred yang sepatutnya anda dapat.
Dengan melakukan kerja kursus, pelajar lebih banyak didedahkan dengan penggunaan Microsoft Word, Excel dan Powerpoint di mana kemahiran ini dapat digunakan di peringkat ijazah ataupun di alam pekerjaan kelak.
4) Murid: Guru
Nisbah murid per guru bagi pelajar Tingkatan Enam adalah jauh lebih kecil berbanding persekolahan biasa dan inilah peluang yang harus digunakan pelajar untuk mendapat tunjuk ajar lebih sempurna dan teliti daripada para guru.
5) Peluang ke IPT
Dengan keputusan STPM yang cemerlang, sudah pastinya membuka peluang lebih luas untuk menyambung pengajian ke IPT pilihan.
6) Setaraf diploma
Sijil STPM setaraf diploma dengan standard peperiksaannya yang tinggi. STPM juga merupakan peperiksaan awam yang dikendalikan Majlis Peperiksaan Malaysia berbanding matrikulasi, diploma dan asasi yang hanya pensyarah mereka membuat dan menanda jawapan peperiksaan.
7) Yuran lebih murah
Difahamkan, yuran bagi Tingkatan Enam lebih murah berbanding yuran pengajian di peringkat lain. Bagi mereka yang kurang berkemampuan dan mempunyai masalah kewangan, inilah pilihan tepat untuk mereka menyambung pengajian.
8) Ulang subjek gagal
Kelainan Tingkatan Enam adalah membolehkan mereka mengulang subjek yang gagal. Peluang ulangan peperiksaan ini adalah untuk mencantikkan lagi keputusan dengan mengambil semula kertas peperiksaan yang mendapat keputusan kurang baik.
9) Kursus perguruan
Melalui Tingkatan Enam, peluang untuk para pelajar dipilih mengikuti kursus perguruan dikatakan lebih tinggi. Kesesuaian subjek dan pilihan memberikan kepentingan kepada pelajar Tingkatan Enam untuk diutamakan.
10) Biasiswa
Pelajar lepasan STPM juga layak memohon pelbagai biasiswa yang ditawarkan dan jika mendapat keputusan baik, mereka akan lebih mudah ditawarkan biasiswa belajar termasuk untuk menyambung pengajian ke luar negara.
11) Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dalam pembelajaran Tingkatan Enam. Bagaimanapun, terdapat juga sesi pembelajaran yang mengasih diri pelajar dalam menggunakan bahasa Inggeris.
12) Perkara tambahan
Antara kelebihan lain bagi pelajar Tingkatan enam adalah boleh mengenakan pakaian biasa semasa menghadiri kelas walaupun mereka belajar di sekolah.
Kelebihan lain, para pelajar ini biasanya mendapat layanan berbeza berbanding pelajar-pelajar lain di sekolah kerana mereka merupakan anak didik paling dewasa.