Rasuah di mata mahasiswa kita

Iklan
Para peserta, panel dan tetamu jemputan bergambar selepas berakhirnya Program Bual Bicara Amar 2024 di UKM, Bangi pada Sabtu.

Kebelakangan ini, isu rasuah di pelbagai peringkat dalam negara menjadi topik hangat semua pihak termasuk dalam dunia pendidikan.

Berikutan itu, Bahagian Pendidikan Masyarakat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkolaborasi bersama enam institusi pengajian tinggi awam dan swasta menjayakan Program Bual Bicara Antirasuah Angkatan Mahasiswa Antirasuah (Amar) 2024 di Dewan Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.

Iklan
Iklan

Kesemua 250 peserta program itu erdiri daripada mahasiswa pelbagai jurusan yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Selangor (UIS), Kolej Newton, Kolej Universiti Saito, dan Asian Pacific Universiti of Technology (APU).

Program anjuran bersama Amar UKM dengan Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman mahasiswa terhadap isu rasuah disamping memperkasakan integriti dalam kalangan barisan pelapis kepimpinan negara di masa hadapan.

Iklan

Para mahasiswa turut menyertai lafaz ikrar antirasuah.

Acara bermula dengan perkongsian 'Zero to Hero' oleh Pegawai eksekutif CSR al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Amar Faiz Mohamed yang berkongsi pandangan dan pengalaman tentang aspek pembangunan sahsiah diri dan prinsip integriti dalam muamalat seharian.

Iklan

Program diteruskan dengan perkongsian bertajuk 'SPRM: Betul ke Telus?' yang disampaikan oleh KPKPj, Mohd Nur Lokman Samingan selaku Ketua Sektor Inisiatif Antirasuah, Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM dengan memberi penekanan mengenai usaha serta peranan yang dimainkan suruhanjaya itu dalam membanteras salah laku rasuah di Malaysia.

PsK, Che Azmin Che Soh kemudian menyambung sesi berikutnya dan berkongsi pengalaman peribadi selama 24 tahun beliau dalam kerja-kerja operasi dan perisikan dengan pendedahan kes kepada mahasiswa agar dijadikan pengajaran supaya tidak terjebak dengan sebarang salah laku rasuah.

Perasmian penutup program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, KPKPj, Samsul Salip.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah (Kepimpinan) Pusat Hal-Ehwal Pelajar, UKM, Ts Dr Ahmad Firdaus Arham.