UUM jadi IPTA pertama meterai MoU dengan AGC

Iklan
Tandatangan memorandum persefahaman di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM.

Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) sejak pelantikan Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai Peguam Negara.

Iklan
Iklan

Naib Canselor UUM, Professor Dr Mohd Fo’ad Sakdan mewakili UUM dan Ahmad Terrirudin mewakili AGC menandatangani MoU itu dalam satu majlis di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen UUM, bersempena 20 tahun program Sarjana Muda Undang-undang Dengan Kepujian (LL.B) UUM.

Ahmad Terrirudin berkata, komitmen AGC dalam melaksanakan kandungan MoU itu demi kemajuan sistem perundangan negara dibuktikan dengan kehadiran beberapa pegawai kanan AGC di majlis tersebut.

Iklan

”Pengurusan tertinggi AGC sentiasa memberi ruang dan peluang kepada pegawai untuk meningkatkan ilmu pengetahuan demi memantapkan kerjaya mereka.

"Saya melihat jalinan kerjasama dengan UUM ini dan IPTA lain pada masa hadapan merupakan antara medium terbaik untuk mencapai hasrat ini,” ujar beliau.

Iklan

Menurut kandungan MoU itu, peluang untuk menjalani program sangkutan di AGC bukan sahaja ditawarkan kepada pelajar Pusat Pengajian Undang-Undang (SoL) UUM, bahkan latihan industri dibuka kepada ahli akademik dan pegawai undang-undang universiti.

Memorandum ini juga menjadi landasan jalinan kerjasama bagi tujuan penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam bidang perundangan antara ahli akademik dan pegawai undang-undang UUM dengan AGC serta program pembangunan modal insan demi meningkatkan minat para pelajar dalam bidang perundangan.

Untuk rekod, UUM diberi peluang mengemukakan senarai nama graduan terbaik daripada SoL bagi tujuan pemilihan calon untuk Green Harvest Programme.

Memorandum ini adalah garis permulaan UUM bekerjasama dengan AGC dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan, latihan perundangan, kursus jangka pendek, persidangan bersama, simposium dan konsultasi.

Mohd Fo’ad semasa ucapannya menyatakan pihak UUM amat berbangga dengan jalinan kerjasama strategik antara UUM dengan pihak AGC.

"Besarlah harapan saya agar perkongsian strategik ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak dan menjadi pemangkin kepada pelbagai perancangan dan pelaksanaan program bersama pada masa hadapan,” ujar beliau.

Antara pegawai kanan AGC yang hadir ialah Peguam Cara Negara II, Datuk Suzana Atan;

Ketua Bahagian Penyelidikan, Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Ketua Bahagian Perbicaraan & Rayuan, Dayuk Mohd Dusuki Mokhtar; Ketua Bahagian Guaman, Donald Joseph Franklin; Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan I, Datuk Masri Mohd Daud dan Timbalan Ketua Bahagian Penasihat I, Mohamad Onn Abd Aziz.

Hadir sama ialah Penolong Naib Canselor Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS) merangkap Dekan Pusat SoL UUM, Profesor Dr Harlida Abdul Wahab dan pegawai kanan UUM lain.