Nama Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal kembali menjadi bualan ramai susulan luahan hati penuh ikhlas yang dikongsi menerusi laman Facebook beberapa hari lalu.
Namun coretan pelajar bijak yang memperoleh 20A iaitu 19A1 dan 1A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 di akaun sosial itu, tiba-tiba ‘hilang’ selepas menjadi viral.
Menurut sumber dipercayai, anak kelahiran Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kelantan telah mennyahaktif akaun media sosialnya gara-gara mendapat perhatian luar biasa dalam kalangan warga maya.
Memandangkan beliau pernah diumum sebagai pelajar cemerlang negara dalam peperiksaan utama kebangsaan itu beberapa tahun lalu, Sinar Bestari kongsikan sebahagian amalan yang dilakukan sehingga meraih keputusan sangat hebat dalam SPM.
Senarai amalan ini dipetik menerusi perkongsian beliau dalam buku Nik Nur Madihah Permata Generasi Rabbani dan beberapa portal tempatan.
Nik Nur Madihah memperoleh 20A (19A1 dan 1A2) SPM 2008 atas kerja keras dan usaha tanpa penat lelah.
Anak muda ini meraih 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.
Dia turut merangkul 1A Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology (EST) dan mendapat 1A2 Biologi.
Dalam masa sama, bekas pelajar SMU (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Kelantan itu turut memperoleh 10A1 dalam Sijil Menengah Ugama.
Walaupun kehidupannya dilingkari kemiskinan, pelajar luar biasa itu berjaya membuktikan kesusahan tersebut tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk berjaya dalam pelajaran dan mencapai impian.
Anak sulung kepada pasangan Nik Mohamad Kamal Husin dan Mariyani Omar berkongsi koleksi tip dilakukan sebelum menduduki peperiksaan.
Antara yang diamalkan adalah solat tengah malam, menghafal al-Quran, amalan puasa sunat Isnin dan Khamis, membanyakkan ibadah sunat, menjauhkan diri daripada riak, menggabungkan sistem pendidikan duniawi dan ukhrawi serta reda dengan ujian ALLAH.
Memetik kata-kata Nik Nur Madihah mengenai resipi kejayaannya, ‘resipi kejayaan saya adalah menjaga hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan manusia.
"Dengan ALLAH saya cuba menjadi seorang hamba sebaik mungkin yang yakin dengan kekuasaan ALLAH. Sementara hubungan sesama manusia, saya cuba tidak menyakiti hati orang lain, tidak sombong dan menghormati orang tua,” ujarnya.
Berbicara tentang keluarga, Sinar Bestari memetik sedikit perkongsian menerusi Wikipedia - Ensiklopedia Bebas.
Tulis laman tersebut, ayah Nik Nur Madihah adalah seorang nelayan yang berasal dari Kampung Pulau Panjang manakala ibunya pekerja am di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Beliau (Nik Nur Madihah) menghabiskan masa kanak-kanaknya sehinggalah dewasa di sebuah rumah usang yang mempunyai dua bilik kecil di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa.
Dalam pada itu, penulis menemui fakta temu bual Nik Nur Madihah bersama sekumpulan wartawan, sejurus beliau menerima keputusan SPM pada 2008.
Antara soalan yang menarik perhatian Sinar Bestari adalah tentang kehidupannya sebagai anak nelayan.
"Kehidupan kami sekeluarga amat sukar, kadang-kadang tidak ada makanan. Oleh itu, sejak Tahun Enam saya mengamalkan puasa sunat pada setiap Isnin dan Khamis.
"Secara purata saya akan membawa wang poket tidak sampai RM1 malah kadang-kadang tiada wang untuk makan di sekolah kerana wang yang diberikan oleh ayah hanya cukup untuk tambang bas ke sekolah kira-kira RM4 untuk pergi dan balik.
"Di sekolah saya hanya makan roti atau bawa bekal nasi goreng. Saya menerima semua ini dengan reda kerana faham ayah tidak mempunyai pendapatan tetap secara purata sekitar RM500 – RM700 sebulan,” katanya.
Selain itu, Nik Nur Madihah turut berkongsi tentang ketidakmampuan keluarga menghantar dia ke pusat tuisyen.
"Ayah tidak mampu! Saya beruntung kerana sekolah menyediakan guru lain untuk lapan mata pelajaran yang tidak diajar di sekolah iaitu Pendidikan Agama Islam, Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi, Tasawur Islam, Geografi, Sains dan Sastera.
"Saya bersama rakan-rakan akan belajar subjek berkenaan dalam kelas tambahan ketika cuti hujung minggu tetapi bagi subjek Sastera, saya belajar sendiri dan tidak pernah mengikuti kelas secara formal,” ujarnya.
Sebagai penghias bicara akhir, Sinar Bestari mendoakan perjalanan kehidupan Nik Nur Madihah sentiasa di dalam lindungan rahmat kasih sayang ALLAH.
Walaupun dia kembali ‘menghilang’ di saat ramai mencari, kita harus menghormati keputusan beliau. Semoga yang baik-baik sahaja untuk Nik Nur Madihah, insya-ALLAH.