Kebebasan akademik merupakan roh yang menghidupkan masyarakat universiti.
Tanpa kebebasan akademik, masyarakat universiti tidak akan mampu mencetuskan idea-idea baharu dan gagal menerima manfaat hasil kewujudan universiti.
Namun, selama puluhan tahun, masyarakat universiti di Malaysia, khususnya ahli akademik dan mahasiswa dibungkam dalam era kegelapan pasca pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mula diperkenalkan pada tahun 1971.
Tidak dapat disangkal lagi benarlah AUKU telah meninggalkan luka yang besar terhadap mahasiswa sehingga kesannya terlihat sampai ke hari ini.
Meskipun begitu, wajarkah beban kesalahan itu diletakkan sepenuhnya kepada AUKU?
Meletakkan kesalahan sepenuhnya terhadap AUKU yang menyebabkan kesuraman daya fikir mahasiswa ialah pandangan yang terlalu dangkal dan bermudahan. Sedangkan AUKU tidak pernah dan tidak mampu menghalang mahasiswa daripada berfikir dan berwacana, namun sejauh manakah mahasiswa di negara ini memanfaatkan ruang (daya fikir) yang tidak dapat ditembusi sebarang kekangan akta ini?
Beberapa tahun kebelakangan ini pula, kekangan AUKU mula dikendurkan dengan beberapa siri pindaan terhadap akta berkenaan.
Pada 2 April lalu, Dewan Negara telah meluluskan pindaan terhadap AUKU bagi membolehkan badan mahasiswa memiliki autonomi kewangan. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut memberi jaminan bahawa AUKU akan terus ditambah baik dari masa ke masa.
Sejak perubahan kerajaan buat kali pertama pada tahun 2018, hakikatnya sudah banyak perubahan yang berlaku di universiti, misalnya sudah terdapat universiti membenarkan mahasiswa membentuk kesatuan (union) mereka sendiri.
Malah ada universiti membuka ruang kepada mahasiswa untuk menjadi ahli senat universiti. Meskipun begitu, ruang kelompongan tidak dinafikan masih ada dan memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Tanpa menolak kepentingan perubahan dasar politik, mahasiswa perlu jelas bahawa perubahan hakiki tidak hanya terlahir dari perubahan politik, sebaliknya dipandu dari kesedaran jiwa, sikap dan idealisme.
Perubahan ini walau bagaimanapun seolah-olah dipaksakan dari atas dan bukannya berlaku secara organik. Keterujaan terhadap perubahan yang berlaku hanya disambut oleh segelintir mahasiswa sahaja dan gagal dikongsikan kepada mahasiswa secara keseluruhannya.
Rata-rata mahasiswa masih berkongsi dogma yang diwariskan oleh ibu bapa mereka, bahawa tugas mahasiswa hanyalah ‘belajar’ dalam erti kata yang penuh sempit iaitu untuk memenuhi kehendak pasaran dan mengangkat nilai-nilai individualistik.
Sikap pasif sebegini perlu menjadi kerisauan bersama kerana mahasiswa ini sepatutnya telah dipersiapkan untuk menjadi pelapis kepimpinan masyarakat, tidak hanya politik tetapi juga kepimpinan sosial.
Mereka sepertinya masih trauma untuk bergerak aktif kerana masih terkesan dengan peringatan 'jangan sibuk berpolitik', walhal di universitilah ruang terbaik untuk mahasiswa meneroka potensi diri dan menggilap idealisme mereka sebelum mereka masuk ke dalam sistem yang bakal menggugah idealisme mereka.
Pesan Profesor Diraja Ungku Aziz, sentiasa perlu didengari dan diambil iktibar oleh mahasiswa;"belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin berpengalaman mencabar dan terpelajar.”
Meningkatkan kualiti wacana mahasiswa
Dalam ruang keterbukaan ini, peranan mahasiswa tidak wajar dibataskan dalam ruang pagar universiti.
Sesuai dengan imej mereka selaku kelompok intelektual, kegiatan yang dijalankan sepatutnya menzahirkan daya intelektual tersebut, misalnya melakukan advokasi dan melobi kepada perubahan dasar, baik di peringkat negara atau universiti.
Dengan itulah, mahasiswa dapat memposisikan diri mereka dalam kancah masyarakat. Selama mana kewujudan mahasiswa tidak dirasai oleh masyarakat sekeliling kampus, mahasiswa perlu melakukan muhasabah kendiri ke atas kegiatan mereka selama ini.
Ia tidaklah pula bermakna mahasiswa hanya perlu melakukan aksi politik seperti unjuk rasa semata-mata. Yang lebih utama, kefahaman tentang aktivisme janganlah disempitkan definisinya kepada aktivisme politik semata-mata, sebaliknya hendaklah mencakup ruang lingkup yang lebih luas.
Wacana aktivisme ini merangkumi isu-isu berkaitan isu pendidikan, misalnya silibus pembelajaran yang tinggi, hak pendidikan kanak-kanak tanpa negara (stateless), tahap malnutrisi yang rendah di perumahan rakyat, rampasan tanah orang asli dan pelbagai lagi isu-isu yang bersangkutan dengan kuliah mereka di universiti.
Wacana-wacana sebeginilah jika diperdebatkan dalam pagar universiti akan berhasil membentuk kematangan berfikir dan selanjutnya menentukan corak kegiatan mereka di kampus.
Memahami makna dan falsafah universiti dalam erti kata yang sebenar dipercayai mampu membawa perubahan dalam tatafikir mahasiswa. Malangnya, ruang dan masa yang strategik seperti minggu orientasi mahasiswa tidak pula dimanfaatkan sebaiknya untuk melentur fikiran mahasiswa sebelum mereka terpisah-pisah mengikut fakulti masing-masing. Sebaliknya, ruang tersebut hanya diisi dengan aktiviti-aktiviti yang tidak ubah seperti orientasi di peringkat sekolah.
Bagi pihak pentadbiran universiti atau pun kesatuan mahasiswa, modul-modul orientasi mahasiswa wajib disemak semula seandainya kita tulus ingin menyaksikan perubahan dalam masyarakat dan menyediakan pelapis-pelapis kepimpinan negara.
Satu kerugian yang amat besar kepada negara dan bangsa, apabila puluhan ribu mahasiswa yang keluar bergraduasi saban tahun masih gagal memahami tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan terus hidup sebagai entiti yang kontang nilai.
Maklumat Penulis
Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Dr Abdul Muqit Muhammad
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.