Karnival Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) yang berlangsung di Sekolah Menengah Menengah Kebangsaan (SMK) Kadok, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan meningkatkan pengetahuan mengenai multimedia terhadap 160 pelajar.
Jelajah TV PSS Sinar Bestari diketuai oleh Editor Eksekutif Lifesytle, Meen Tahrin yang berkongsi ilmu menghasilkan video dan kesan khas terbaik.
Peserta dan guru yang ditemui teruja kerana mereka dapat berkongsi lebih banyak perkara berkaitan proses mengedit video dan kaedah mengambil gambar.
Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Mahyuddin, Pasir Pekan, Tumpat, Muhd Damien Mikhail Mohamad Hafiz mengakui dapat mempelajari lebih banyak perkara melalui program itu.
"Paling penting ialah pengalaman mengedit yang akan saya kongsikan dengan rakan lain yang tidak dapat hadir bersama hari ini," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Muhd Damien Mikhail yang baru enam bulan menyertai TV PSS di sekolahnya sudah mahir menyunting video.
Rakannya, Khairunnisa Awatif Mohammad Adli Azmi juga mahu menghasilkan lebih banyak video terbaik selepas mempelajari kaedah itu pada program berkenaan.
Setakat ini katanya, sudah menghasilkan empat video membabitkan majlis di sekolahnya.
"Saya dapat mengetahui lebih banyak perkara mengenai kewartawanan dan sebelum ini memang tiada asas langsung mengenai bidang berkenaan," katanya.
Sementara itu Guru Pembimbing TV PSS sekolah itu, Cikgu Mohd Munawar Ahmad berharap pelajar yang menyertai Jelajah TV PSS dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh.
Menurutnya, pada permulaan mereka hanya belajar bersama rakan-rakan di sekolah lain termasuk di Sekolah kebangsaan (SK) SK Wakaf Bharu atau di YouTube.
"Sinar Harian sudah profesional dan saya melihat kaedah suntingan sangat bagus untuk diaplikasikan dalam hasil kerja kami," katanya.
Murid Tahun Lima SK Jeli 2, Fitri Damia Irdina Mat Supian gembira dipilih menyertai program itu.
Fitri Damia Irdina yang diberi peluang menyunting video juga boleh menghasilkan video tetapi masih belajar untuk lebih baik.
Dia dipilih menyertai program itu bersama tiga rakan dan Guru Penyelaras TV PSS, Cikgu Wan Farhana Wan Hussin.
Hadir sama memberi sokongan ialah Pegawai Pengarah Unit Pembangunan Pusat Sumber Pendidikan, Sektor Perintergrasian Teknologi Pendidikan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KP), Azatus Sakhia Syakir Masdur; Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Zulkifli Zakaria dan Pengetua SMK Kadok, Khatijah Hussin.