"Luth selalunya akan minta pastikan makanan yang hendak dimakan berada dalam keadaan baik".
Demikian jelas bapa kepada Allahyarham Luth Izhar Kamal, 17, yang meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas makan bihun dan telur goreng dibawa pulang oleh ibunya dari sebuah majlis.
Kamal Baihan, 53, berkata, anak bongsunya itu akan sentiasa meminta pengesahan tentang status makanan yang akan dijamah.
Dia yang bekerja sendiri berkata, arwah anaknya itu ada meminta dia memeriksa keadaan bihun goreng yang mahu dimakan pada hari kejadian.
"Saya telah mencium bihun yang dibawa pulang oleh isteri dan tiada bau tidak elok pada makanan itu.
"Semasa makan, Luth ada minta tambah telur daripada kakaknya kerana kakaknya tidak makan telur yang ada bersama bihun tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Kamal berkata, dia sempat berjenaka dan gelak ketawa bersama arwah Luth pada Sabtu dan sama sekali tidak menyangka ia merupakan kenangan indah terakhir bersama arwah anaknya itu.
Begitupun menurutnya, dia dan isteri serta seluruh ahli keluarga reda dengan pemergian anak tersayangnya itu dan enggan menyalahkan sesiapa berhubung kejadian yang menimpa arwah Luth.
"Jika ada pihak yang mahu menjalankan siasatan, ia terpulang kepada pihak terbabit.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah Luth kerana kematian tidak akan terlewat atau awal dari apa yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Kuasa," katanya tabah.
Sementara itu, sepupu mangsa, Iskhandar Zazumi, 30, berkata, arwah Luth merupakan seorang remaja yang baik budi pekerti.
Katanya, meskipun arwah seorang yang agak pendiam, namun sangat rapat adik-beradiknya.
Menurutnya, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu baru kehilangan nenek tercinta pada pada 23 Mei lalu.
"Saya kali terakhir berjumpa arwah Luth semasa malam majlis tahlil nenek kami di Bukit Beruntung, Selangor.
"Tiada sikap ganjil yang ditunjukkan oleh arwah dan kami bertegur sapa sebagai seorang sepupu pada malam tersebut," ujarnya.
Allahyarham Luth dikebumikan sekitar jam 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
Jenazah arwah tiba di surau berdekatan rumah di Pangsapuri Mutiara Gombak, dekat sini jam 1.45 petang.