Terumbu karang sejenis haiwan yang kaya dengan kepelbagaian dan mempunyai peranan penting dalam kestabilan ekosistem marin.
Fungsi terumbu karang antara lain adalah sebagai benteng pertahanan dan perlindungan pantai terhadap ombak dan sumber makanan kepada hidupan laut terutamanya anak-anak ikan.
Secara tidak langsung, ia jelas menunjukkan hubungkait antara terumbu karang, ikan dan manusia memandangkan ikan dijadikan sumber protein terpenting kepada manusia dan sumber pendapatan bagi kumpulan nelayan.
Namun kini, terumbu karang semakin menyusut bilangannya dan kian diancam kepupusan disebabkan beberapa faktor seperti ketidaktentuan iklim, kemusnahan habitat dan pencemaran laut yang memerlukan tindakan proaktif segenap lapisan masyarakat.
Pelbagai inisiatif telah dilakukan pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi swasta dalam usaha memulihara ekosistem marin khususnya terumbu karang, namun ia masih memerlukan pelan tindakan jangka masa panjang.
Menyedari hakikat itu, universiti terkemuka pantai timur, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Aquaria KLCC meneruskan projek pemuliharaan terumbu karang melalui pelaksanaan Program Konservasi Terumbu Karang 3.0 di perairan Pulau Bidong, Terengganu.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor Dr Marinah Ariffin berkata, inisiatif tersebut sangat penting bagi memastikan kelestarian hidupan laut berkenaan untuk generasi masa hadapan.
"Kami di UMT amat mengalu-alukan kerjasama pihak luar untuk berganding bahu dalam menjalankan projek konservasi khususnya berkaitan isu marin bagi memastikan ekosistem penting itu terus kekal lestari.
"Ekosistem marin mempunyai hubung kait penting kepada ekosistem alam semula jadi dan program pemuliharaan seperti ini adalah untuk kehidupan generasi akan datang,” katanya.
Jelas beliau, usaha yang dilakukan Ketua Penyelidik UMT, Profesor Madya Dr Tan Chun Hong bersama-sama pihak Aquaria KLCC berpotensi menarik lebih ramai pihak luar berkolaborasi dalam menangani isu berkaitan alam sekitar.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Aquawalk Sdn. Bhd., Daryl Fong berkata, kerjasama tersebut telah berjaya meneruskan projek Konservasi Terumbu Karang 3.0 dengan mengetengahkan konsep 'koral angkat' setelah dua siri penganjuran program pemuliharaan terumbu karang dijalankan hampir lima tahun lalu melibatkan dana kira-kira RM300, 000.
Untuk rekod, program penanaman 1,000 terumbu karang yang diperkenalkan UMT dengan kerjasama Aquaria KLCC tahun lalu membuahkan hasil selepas data pertumbuhan terumbu karang menjangkau kira-kira 10cm bagi tempoh lapan bulan.