Kolam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan, Machang, Kelantan yang lama terbiar dan tidak digunakan lagi akhirnya 'bertukar wajah' menjadi taman Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) MADANI selari dengan hasrat kerajaan memperkasakan kecanggihan teknologi masa kini.
Pengetuanya, Cikgu Che Sauti Che Ibrahim berkata, menariknya pembinaan taman STEM ini apabila pihaknya memberi penekanan terhadap konsep MADANI yang disarankan kerajaan dengan meliputi pelbagai teras seperti kesejahteraan, daya cipta, hormat dan ihsan.
"Kolam ini sudah lama terbiar sehingga mencacatkan pemandangan di kawasan sekolah dan menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes yang boleh menjejaskan kesihatan warga sekolah.
"Oleh itu, saya minta Guru Kanan Sains dan Matematik, Cikgu Ruslawati Hasan pada ketika itu untuk membuat sesuatu terhadap kolam terbiar ini supaya kelihatan menarik dan dapat memberi manfaat kepada semua pelajar," katanya.
Mengulas lanjut, Cikgu Che Sauti berkata, projek mengindahkan semula kolam terbiar yang bermula sejak Ogos tahun lepas turut mendapat perhatian dan sokongan pelajar, guru, alumni dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang sama-sama membantu menyiapkan taman ini serta berkongsi idea supaya konsep diinginkan dapat direalisasikan.
"Alhamdulillah, berkat semua pihak yang bantu untuk siapkan taman STEM MADANI ini, akhirnya membuahkan hasil di luar jangkaan kerana kami hanya guna bahan-bahan kitar semula dan berbelanja kurang RM5,000 sahaja untuk beli barang-barang yang diperlukan.
"Memandangkan masih ada dua lagi kolam terbiar di sekolah ini, saya rancang untuk mengindahkan semula supaya tidak ditinggalkan begitu sahaja tanpa melakukan sebarang penambahbaikan," katanya yang menambah usia sekolah berkenaan hampir 60 tahun.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen Machang, Redzuan Alias berkata, pendekatan konsep digunakan di sekolah berkenaan sewajarnya boleh diterapkan juga di semua sekolah sekali gus dapat melahirkan rakyat yang cintakan kelestarian alam, berdaya saing, berinovasi serta menjaga hubungan duniawi dan ukhrawi.
"Pihak kami juga berhasrat untuk galakkan penglibatan komuniti lebih ramai di Parlimen ini dan mahu bekerjasama dengan Jabatan Penerangan (JaPen) negeri untuk terus menghebahkan konsep MADANI agar dapat dirasai semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama," katanya. - Bernama