Beg sekolah yang sarat setiap hari mungkin kelihatan biasa, namun kesannya terhadap kesihatan murid tidak boleh dipandang ringan.
Pakar mendedahkan antara 20 hingga 40 peratus kanak-kanak usia persekolahan pernah mengalami sakit belakang sekurang-kurangnya sekali.
Walaupun kebanyakan kes dianggap ringan dan sementara, simptom awal ini sebenarnya boleh menjadi petanda kepada gangguan postur serta perkembangan fizikal jika berterusan.
Menurut Pakar Perunding Ortopedik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Khairul Anwar Ayob, dalam amalan klinikal, kanak-kanak jarang mendapatkan rawatan khusus bagi sakit belakang. Namun, keadaan itu tidak bermakna ia boleh dipandang remeh.
“Hanya sebahagian kecil yang mendapatkan rawatan perubatan kerana kebanyakan kes dianggap ringan atau sementara. “Padahal, simptom awal ini sepatutnya menjadi isyarat amaran bahawa sesuatu perlu diperhatikan,” katanya kepada Sinar Bestari.
Beliau menjelaskan, beg sekolah yang berat, cara pemakaian yang tidak betul serta kekerapan membawa buku dan alat tulis setiap hari, antara penyumbang utama kepada masalah tersebut.
Pendedahan ini bukan bertujuan menyalahkan sesiapa, sebaliknya membuka mata semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pembuat dasar bahawa ia wajar diberi perhatian serius.
Jejas pergerakan, perkembangan fizikal
Kebimbangan semakin memuncak apabila kanak-kanak berusia enam tahun yang fizikalnya masih kecil dan berada dalam fasa perkembangan aktif bakal melangkah ke Tahun 1 pada sesi persekolahan 2027.
Sekiranya isu beg berat tidak ditangani secara menyeluruh, golongan ini dikhuatiri lebih terdedah kepada ketidakselesaan dan gangguan terhadap kualiti pergerakan harian mereka di sekolah.
Namun, menurutnya, beban itu tidak semestinya menjejaskan tumbesaran secara kekal sekiranya kanak-kanak tidak mempunyai masalah kesihatan sedia ada.
Sebaliknya, perkara yang lebih membimbangkan ialah kesan terhadap kualiti pergerakan, postur tubuh dan perkembangan fizikal murid yang masih berada dalam fasa aktif membesar.
“Murid mampu menyesuaikan diri dengan beban yang dipikul, namun adaptasi terhadap tekanan fizikal dalam jangka panjang boleh menjejaskan perkembangan otot dan rangka.
“Beban berlebihan dipikul setiap hari juga boleh menyebabkan ketidakselesaan, perubahan cara berjalan dan tekanan berulang pada otot serta sendi,” ujarnya.