Kolej Uniti jalin kerjasama dengan universiti terkemuka Indonesia

Iklan
Amir Hamzah (tiga dari kiri) dan Doddy (tiga dari kanan) bersama-sama beberapa wakil pada majlis penyerahan dokumen persetujuan persefahaman di Pontianak, Khamis lalu.

Kolej Uniti Port Dickson, Negeri Sembilan bakal menjalinkan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan pelaksanaan program kursus jangka pendek serta latihan industri bersama dua buah universiti terkemuka di Wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Uniti, Amir Hamzah Md Isa, kerjasama strategik berkenaan melibatkan universiti awam tertua di Kalimantan Barat iaitu Universitas Tanjungpura dan Universitas Muhammadiyah Pontianak yang merupakan salah satu daripada 178 institusi pendidikan tinggi (IPT) Muhammadiyah di seluruh Indonesia.

Iklan
Iklan

Katanya, kerjasama tersebut turut memberi peluang kepada Kolej Uniti Port Dickson melaksanakan program perkongsian kepakaran melibatkan tenaga pengajar dan pertukaran pelajar dalam bidang berkaitan bersama mereka.

"Kolej Uniti merupakan IPT pertama di Malaysia menawarkan program pengajian halal secara formal iaitu Diploma Pengurusan Industri Halal pada tahun 2013 dan akan berkongsi pengalaman sekali gus membantu kedua-dua universiti ini melahirkan lebih ramai sumber manusia bagi memenuhi keperluan industri halal tempatan.

Iklan

"Kerjasama tersebut turut melibatkan program mobiliti, pertukaran pelajar antara institusi dan proses pengambilan pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan dokumen persetujuan persefahaman anjuran Education Malaysia Global Services (EMGS) di Pontianak pada Khamis.

Iklan

Amir Hamzah mewakili Kolej Uniti manakala Universitas Tanjungpura dan Universitas Muhammadiyah Pontianak masing-masing diwakili Timbalan Rektor, Perancangan dan Kerjasama, Dr Ir RM Rustamaji serta Rektor, Dr Doddy Irawan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif EMGS, Novie Tajuddin; Konsulat Malaysia di Pontianak, Azizul Zekri Abd Rahim dan Ketua Dinas Pendidikan dan Kebudayaan Kalimantan Barat, Rita Hastarita.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, sejak 2022 lalu, Kolej Uniti telah menjalinkan kerjasama dengan Institut Pertanian Bogor (IPB) University di Bogor, Jawa Barat, Indonesia dan hubungan strategik tersebut memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam bidang berkaitan halal.

Ujarnya, pemilihan Kolej Uniti yang merupakan Penyedia Latihan Halal dan mendapat perakuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebagai rakan strategik kepada IPB University dan dua universiti terkemuka adalah pengiktirafan besar yang cukup bermakna.

"Sejak sedekad lalu, Kolej Uniti melalui Pusat Kecemerlangan Halal UNITI (UHAC) telah melahirkan ribuan graduan bidang halal termasuk lebih 20 orang dari Indonesia.

"Sehingga ke hari ini, kita sudah melatih eksekutif-eksekutif halal kompeten yang memenuhi pasaran kerja industri tempatan dan antarabangsa,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Novie berkata, persetujuan persefahaman membabitkan institusi pendidikan tinggi di kedua-dua buah negara telah mempamerkan satu anjakan dalam sektor pengajian tinggi sekali gus melambangkan kerjasama erat serumpun.

"EMGS berharap ia menjadi model kepada institusi pengajian tinggi lain untuk meneroka kerjasama sebegini seterusnya berusaha memperkasa pendidikan tinggi di kedua-dua buah negara,” tutur beliau.

Untuk rekod, Universitas Tanjungpura yang terletak di pusat bandar Pontianak menempatkan kira-kira 35,000 mahasiswa.

Manakala lebih 5,000 penuntut sedang melanjutkan pengajian di Universitas Muhammadiyah Pontianak dalam pelbagai bidang.