Membudayakan kualiti dalam pendidikan tinggi

Iklan
Mahasiswa juga memainkan peranan dalam memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran dimaksimumkan. Gambar kecil: Wan Hartini.

Membudayakan kualiti dalam pendidikan tinggi memerlukan komitmen berterusan bagi menjamin kecemerlangan operasi universiti terutamanya dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kepada komuniti.

Melalui visi dan misi yang dikomunikasikan dengan jelas, penekanan kepada pentingnya kualiti dan kecemerlangan akan dapat difahami oleh pemegang taruh dalaman universiti.

Iklan
Iklan

Komitmen dan inisiatif yang dipacu kepimpinan secara berterusan perlu diterjemahkan melalui sokongan sumber dan latihan.

Walaupun penumpuan pendidikan tinggi adalah kepada pengajaran dan pembelajaran, tidak bermakna keperluan membudayakan kualiti hanya diletakkan dibahu staf akademik semata-mata.

Iklan

Malah, staf sokongan perlu dilibatkan bermula dari peringkat perancangan, pelaksanaan sehinggalah ke peringkat penilaian.

Kebersamaan perlu dipupuk dalam setiap proses pengurusan kualiti di universiti.

Iklan

Mahasiswa juga memainkan peranan dalam memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran dimaksimumkan.

Galakan dalam memberi maklum balas berterusan oleh penuntut terhadap program akademik, kursus dan aktiviti penyelidikan amat signifikan bagi membolehkan input yang diberikan diguna pakai dan proses berkaitan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dalam era bersandarkan kepada data-driven decision making, penggunaan data dalam membuat keputusan yang tepat amat membantu kerana sebarang tindakan hendak dilakukan adalah berdasarkan kepada bukti sahih.

Selain daripada itu penginovasian dan penyelidikan dalam pengajaran dan pembelajaran juga mencerminkan kualiti yang dicapai sesebuah universiti.

Sekiranya tidak ada usaha yang dilakukan, kesannya adalah kepada mahasiswa kerana pensyarah masih berada ditakuk lama dan tidak mahu mengikut peredaran masa.

Dalam pada itu, pengiktirafan dan ganjaran turut menjadi satu mekanisma memotivasikan staf dan mahasiwa menunjukkan komitmen terhadap kualiti dan kecemerlangan.

Inisiatif seperti mewujudkan program anugerah menjadi pemangkin kepada mereka untuk lebih berdaya saing dan memupuk sikap memberikan yang terbaik dalam apa juga dilakukan.

Kejayaan diraih mereka adalah refleksi terhadap kesungguhan universiti untuk memartabatkan kualiti.

Komunikasi berkesan merupakan aspek paling penting. Ketelusan dalam menyampaikan maklumat mengenai inisiatif kualiti dan hasil penilaian disampaikan dengan jelas kepada semua pihak berkepentingan.

Sesi dialog, pertemuan dan perbincangan terbuka menjadi platform untuk staf dan penuntut mengajukan cadangan.

Staf yang lama dan baharu dalam perkhidmatan perlu diberikan pendedahan berterusan supaya mempunyai pemahaman yang sama terhadap apa ingin dicapai universiti.

Kesimpulannya, budaya kualiti dalam pendidikan tinggi adalah satu elemen penting dalam memastikan bahawa universiti dapat mencapai kecemerlangan akademik dan disegani diperingkat global.

Dengan melakukan tindakan-tindakan yang proaktif dan efektif, universiti akan dapat mengekalkan kecemerlangan sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan dan menghasilkan graduan berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

Maklumat penulis

Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, Institut Kualiti Pengembangan Ilmu merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Wan Hartini Wan Zainodin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my