Semarakkan bahasa dan budaya mahasiswa asing

Iklan
Program Jejak Budaya Negeri Terengganu Mahasiswa China anjuran Universiti Sains Malaysia dan UMT membuka peluang kolaborasi bahasa dan budaya di peringkat antarabangsa.

Program penghayatan bahasa dan budaya Melayu untuk mahasiswa asing memerlukan perancangan lebih proaktif kerana program sebegini menawarkan peluang besar untuk mempromosikan warisan budaya negara selain merupakan usaha penting yang dapat meningkatkan pemahaman antara budaya dan mempererat hubungan internasional.

Justeru, dalam konteks akademik, universiti merupakan antara medium yang sesuai untuk menyuburkan usaha ini melalui penawaran kursus atau program bahasa dan budaya Melayu untuk mahasiswa asing yang mencakupi pembelajaran bahasa, sosial, budaya dan lain-lain.

Iklan
Iklan

Dalam zaman globalisasi ini, budaya luar mungkin menjadi lebih berpengaruh daripada budaya tempatan.

Ini disebabkan oleh masyarakat setempat yang semakin terdedah kepada budaya luar melalui pelbagai saluran seperti media massa, teknologi dan juga arus migrasi antarabangsa.

Iklan

Akibatnya, nilai dan keunikan budaya serta bahasa tempatan mungkin menjadi kabur atau kurang diperhatikan.

Impaknya, penuntut asing yang belajar di Malaysia juga terpengaruh oleh budaya luar yang dominan pada ketika ini.

Iklan

Ketika mereka terlibat dalam budaya tempatan di Malaysia, mereka mungkin menemukan bahawa masyarakat setempat juga terpengaruh oleh budaya luar yang mengakibatkan kesukaran dalam memahami dan menyesuaikan diri dengan budaya tempatan yang sebenar.

Perkara ini juga dapat mempengaruhi integrasi mereka dalam masyarakat setempat dan pengalaman belajar mereka secara keseluruhan.

Contohnya, pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa asing mungkin akan terganggu akibat penggunaan bahasa rojak dan slanga dalam kalangan pelajar tempatan.

Justeru, untuk mengatasi perasaan bahawa budaya dan bahasa tempatan tidak dihargai, pendekatan yang holistik dan terkoordinasi amat diperlukan.

Contohnya, pendidikan dan kesedaran bahasa dan budaya dalam kalangan masyarakat setempat tentang nilai dan keunikan budaya dan bahasa tempatan, melakukan usaha aktif untuk mempromosikan dan melestarikan budaya dan bahasa tempatan melalui festival, acara budaya dan aktiviti komuniti.

Selain itu, integrasi dan dialog antarabangsa juga mendorong penghayatan yang lebih baik antara pelajar asing dan masyarakat setempat untuk saling memahami dan menghargai budaya dan bahasa satu sama lain.

Dalam konteks akademik, universiti dan kolej memainkan peranan penting untuk menyuburkan kolaborasi institusi pendidikan sama ada di dalam dan luar negara, pemerintah atau kerajaan dan masyarakat setempat untuk mengembangkan program dan inisiatif yang mendukung penghargaan terhadap budaya dan bahasa tempatan.

Justeru, perlunya kerjasama antara institusi pendidikan dan badan kerajaan untuk menjamin kelangsungan program.

Selain itu, universiti juga perlu menyuburkan kajian tentang bahasa dan budaya Melayu serta mengumpulkan dokumentasi yang dapat digunakan sebagai sumber pembelajaran.

Penyelidikan ini juga dapat diterbitkan untuk meningkatkan pengetahuan global tentang bahasa dan budaya Melayu.

Semua pihak memiliki peranan yang komprehensif dalam mempromosikan penghayatan bahasa dan budaya Melayu kepada pelajar asing.

Peranan ini bukan hanya memperkaya pengalaman penuntut asing tetapi juga memperkuat reputasi universiti sebagai pusat pembelajaran yang berprestij dan inklusif.

Maklumat penulis

1) Pensyarah (Bahasa Melayu), Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mazlina Ahmad

2) Pensyarah (Bahasa Sepanyol), Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, UMT, Dr Radhiah Ismail

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my