Ibu kepada murid prasekolah yang maut dilanggar van sekolah di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor pada Rabu merasakan masih terngiang-ngiang di telinganya panggilan arwah anaknya itu setiap kali pulang dari sekolah.
Menurut ibu mangsa, Karmin Kahil, 39, sudah menjadi rutin bagi Nurhafizah Nuljin, 5, dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6, memanggilnya selepas turun dari van sekolah dan ketika menghampiri pagar rumah pada jam 11 pagi setiap hari.
Namun dia hairan apabila kedua-dua anaknya itu tidak memanggilnya seperti biasa sebaliknya hanya mendengar panggilan pemandu van yang memintanya keluar rumah bagi melihat keadaan anaknya.
"Pemandu van wanita berkenaan menyatakan sudah melanggar anak saya sambil berulang kali meminta maaf.
"Dia kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian kerana mahu menghantar murid lain sebaliknya saya dibantu jiran menghantar anak ke Klinik Kesihatan Masai,” katanya ketika ditemui pada Khamis.
Karmin berkata, Nurhafizah kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Johor Bahru dan doktor melaporkan anaknya mengalami pendarahan dalaman di bahagian kepala serta urat di belakang leher juga terputus sebelum disahkan meninggal dunia.
Dalam pada itu, Karmin berkata, arwah mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini manakala Muhammad Afieq Miqhael sejak tahun lalu dan kedua-dua beradik itu belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Alam 2.
"Kejadian mengakibatkan Muhammad Afieq Miqhael trauma hingga membuatkannya menangis setiap kali melihat gambar adiknya,” katanya.
Namun, dia dan suami, Nuljin Delson, 41, seorang jurukimpal reda dengan kejadian menimpa anak bongsunya itu.
Arwah anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai di sini kira-kira jam 6 petang Rabu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pemandu van berusia 50 tahun itu dibebaskan pada pagi Khamis selepas keterangan diambil.
Menurutnya, semasa bergerak ke depan, pemandu berkenaan terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah terbabit tanpa disedari.
"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod saman trafik dan van sekolahnya beroperasi secara sah,” katanya.