UMT angkat martabat wau

Iklan
Pemenang pertandingan Wau Tegak menerima hadiah masing-masing.

Wau atau layang-layang adalah permainan rakyat yang sangat popular satu ketika dahulu terutamanya di pedalaman dan sering dimainkan di pantai serta kawasan lapang seperti padang dan sawah padi.

Aktiviti bermain wau dianggap sebagai aktiviti ringan yang dapat merapatkan hubungan orang-orang kampung. Pertandingan juga diwujudkan dengan menilai setiap bentuk keunikan wau, corak, warna serta kebolehannya untuk diterbangkan.

Iklan
Iklan

Sayangnya masyarakat hari ini, terutama sekali generasi muda semakin kurang menghargainya. Mereka lebih memilih permainan yang moden dan menepati cita rasa seperti permainan video, futsal serta mendaki bukit.

Hal ini membuatkan generasi baharu lupa akan kewujudan permainan tradisional di negara ini.

Iklan

Bagi memupuk generasi muda dalam memertabatkan permainan wau, Kolej Kediaman Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus telah menganjurkan Program Sayap Seni Wau bagi memenuhi tanggungjawab dan peranan sosialnya kepada para pelajar luar kampus termasuk pihak komuniti.

Antara peserta cilik yang mengambil bahagian.

Iklan

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, program yang dijalankan ini berupaya memupuk ikatan silaturahim antara pelajar luar kampus UMT dan masyarakat komuniti sekitar, selain semangat kebersamaan, bersatu padu dan saling bekerjasama antara pelajar serta komuniti di sekitar UMT.

"Penganjuran program Sayap Seni Wau ini bukan sahaja merangkumi program bagi mengukur kemahiran bermain wau, namun ia juga sebagai satu platform untuk memberikan pendedahan berkaitan kemahiran pembuatan wau serta pengenalan kepada jenis-jenis dan kategori wau yang ada di Terengganu," katanya.

Tambahnya program ini merupakan inisiatif dalam mengangkat martabat kebudayaan tradisional Malaysia agar tidak terus tenggelam seterusnya menjadi warisan penting bagi generasi akan datang.

Untuk rekod, program yang berlangsung pada 22 Jun lalu di Padang Bola, Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT ini mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelajar tempatan dan antarabangsa serta komuniti setempat.

Kira-kira 50 peserta mengambil bahagian dalam acara Sayap Seni Wau dan pertandingan Wau Tegak.

Malah pertandingan mencanting batik turut diadakan bagi memeriahkan lagi program. Tiga (3) pemenang telah dipilih berdasarkan ketinggian maksimum setiap wau yang dinaikkan.

Pertandingan mencanting batik turut mendapat sambutan.

Mohd Izani berkata lagi, program ini berpotensi untuk diperluaskan skop pelaksanaannya sama ada sebagai acara tahunan atau penganjuran di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Pantai Timur.

Generasi muda perlu tahu wau bukan sejenis permainan tradisional semata-mata, tetapi juga harta yang cukup berharga kerana statusnya sebagai warisan budaya rakyat Malaysia dan perlu dipelihara agar tidak hilang dengan arus kemodenan permainan era moden.

Semua pihak haruslah bersama-sama memupuk semula sikap menghargai permainan tradisional meski pun pelbagai permainan baharu yang lain muncul saban hari. Bak kata pepatah"tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas”.

Program ini turut mendapat sokongan Pengerusi Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Kuala Nerus, Terengganu, Khairuddin Salleh dan pemilik Syarikat Lambur Sari, Sarinah Said sebagai pembekal batik bagi program Sayap Seni Wau ini.