Mahasiswa UM santuni gelandangan dengan santapan rohani

Iklan
Sukarelawan bergambar beramai-ramai di penghujung program.

Sejarah gelandangan di Malaysia telah pun bermula sejak zaman kolonial British dahulu lagi, dan menjadi semakin ketara selepas kemerdekaan. Berdasarkan statistik terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah gelandangan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun terakhir ini berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Bandaraya Kuala Lumpur mencatatkan jumlah gelandangan tertinggi, iaitu melebihi 1,000 orang.

Iklan
Iklan

Golongan ini biasanya bertumpu di kawasan tengah ibu kota. Kebanyakan mereka juga ditimpa pelbagai masalah termasuklah kemiskinan, pengangguran, ketagihan dadah, kesihatan mental dan hubungan keluarga yang terputus.

Golongan gelandangan juga sering menghadapi cabaran dalam mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan perlindungan.

Iklan

Pelbagai pihak sedang dan berusaha membantu menangani masalah gelandangan ini.

Ustaz Darwis menyampaikan ceramahnya kepada gelandangan dan sukarelawan.

Iklan

Pihak JKM dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) contohnya, sering menjalankan rondaan dan operasi untuk membantu golongan gelandangan.

Malah, banyak juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) turut berusaha menghulurkan bantuan terutama bekalan makanan dan pakaian, dari semasa ke semasa.

Menyedari hakikat bahawa pelajar universiti juga berperanan dalam menyantuni golongan ini, sebuah program mendekati gelandangan anjuran mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah dijalankan baru-baru ini di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Program yang dinamai ‘Sentuhan Kasih’ ini dianjurkan oleh Kelab Musolla, Kolej Kediaman Pertama (ASTAR) UM dengan kerjasama MyHeal, sebuah organisasi sukarelawan yang aktif memberikan bantuan kepada gelandangan.

Seramai lebih 30 mahasiswa UM dari pelbagai bidang pengajian dan 20 orang sukarelawan MyHeal telah mengambil bahagian.

Pelbagai pengisian aktiviti telah diadakan bagi memberi ruang kepada sukarelawan mendekati hampir 100 orang gelandangan yang mengambil bahagian.

Aktiviti utama program yang diadakan pada sebelah malam ini adalah makan malam beramai-ramai dan sesi perkongsian rohani yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam UM, Dr Abdul Aziz Rekan.

Sukarelawan mengagihkan makanan kepada peserta.

Selain itu, terdapat juga aktiviti ‘Street Dakwah’ yang dikelolakan opendakwah bebas Ustaz Darwis dan aktiviti ‘Santai Sekejap’ oleh pihak MyHeal bagi menghiburkan kanak-kanak yang turut hadir.

Pelajar tahun kedua jurusan farmasi yang juga merupakan pengarah program, Muhammad Farid Izzuddin berkata, penganjuran program sebegini bukan hanya menghasilkan manfaat kepada sebelah pihak, malah secara tidak langsung mencipta peluang bagi mahasiswa untuk menambah pengalaman dalam mendekati segmen masyarakat yang terpinggir ini.

"Melalui program ini, sukarelawan berpeluang mendekati golongan gelandangan ini dengan mendengar luahan kisah dan masalah sekelompok manusia yang turut menghuni ibu kota, namun jarang ditemui untuk dijadikan pengajaran dan pedoman hidup.

"Secara tidak langsung, ini dapat memupuk rasa empati, sikap ihsan, dan memupuk keikhlasan niat dalam melakukan sesuatu perkara.

"Diakui walaupun bergelar mahasiswa di Kuala Lumpur, namun saya dan rakan-rakan sebenarnya tidak pernah berpeluang untuk mendekati golongan ini.

"Saya bersyukur melalui program ini, kami berpeluang menyantuni mereka yang selama ini hanya diketahui melalui paparan maklumat di media,” katanya lagi.

Abdul Aziz (kiri) dan Ustaz Darwis (kanan) di permulaan program.

Katanya, melihat respon para sukarelawan di penghujung program, jelas menunjukkan objektif program ini telah tercapai.

"Saya percaya program ini telah berjaya meyakinkan mahasiswa bahawa proses pembelajaran di universiti itu tidak hanya terhad di dewan kuliah semata-mata.

"Jika mereka berusaha untuk keluar dari kepompong masing-masing, dan mula memahami realiti kehidupan sebenar ibu kota Kuala Lumpur, di situ juga terletaknya satu lagi sumber pembelajaran untuk mereka,” kata Muhammad Farid.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, program sebegini sebenarnya mampu melatih mahasiswa mempraktikkan secara langsung apa yang dituntut sebagai seorang Islam.

"Dalam hal ini, mereka dilatih untuk menunaikan tanggungjawab dalam membantu sesama Muslim, sebagaimana firman ALLAH SWT dalam surah al-Zalzalah ayat ke-7 (yang bermaksud): Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau seberat zarah sekali pun, nescaya dia akan melihat (balasan)-NYA.

"Saya sebenarnya kagum dengan komitmen yang ditunjukkan oleh kesemua sukarelawan dalam menjayakan program ini.

"Diharapkan kejayaan penganjuran program ‘Sentuhan Kasih’ ini bukan sahaja mengajar mereka erti bersyukur yang sebenar, malah menyuntik semangat untuk mengusahakan yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan, terutamanya dalam mengejar impian mereka bergelar graduan yang holistik dan serba boleh,” kata Abdul Aziz.