Kelab CFC UMS ke Indonesia

Iklan
Lawatan ke Saraswati Learning Center, sebuah sekolah kanak-kanak berkeperluan khas.

International Relation Program (IRP) ke Indonesia melibatkan penyertaan 19 mahasiswa Kelab Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga (CFC), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan tiga pensyarah pengiring.

Pelaksanaan program yang berlangsung selama lapan hari itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta tentang budaya dan cara hidup masyarakat di luar negara.

Iklan
Iklan

Selain itu, program juga berobjektif berkongsi maklumat dalam bidang Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga dengan membuat lawatan ke pusat kanak-kanak berkeperluan khas dan universiti terpilih di Indonesia.

Penasihat Kelab CFC, Dr Suwaibah Zakaria berkata, IRP adalah acara tahunan kelab tersebut yang diadakan sejak tahun 2013 lagi.

Iklan

"Acara tahunan ini dikendalikan hampir 100 peratus oleh ahli majlis tertinggi dan majlis eksekutif CFC.

"Inisiatif menjelajah ke negara pilihan adalah untuk meneroka ilmu baharu dan menimba pengalaman berharga sebagai proses pembelajaran sepanjang hayat yang tidak boleh diperoleh dalam dewan kuliah,” katanya.

Iklan

Dekan FPP UMS, Profesor Madya Dr Soon Singh Bikar Singh pula berkata, penganjuran program tersebut dapat memberikan pemahaman dan pengalaman mendalam kepada penuntut mengenai cabaran dalam penganjuran program.

Sementara itu, Pengarah Program IRP, Qistina Alya Jamaluddin menyeru rakan mahasiswa untuk terus menghayati semangat inovasi dan kebolehsuaian dalam menghadapi perubahan landskap pendidikan yang sentiasa berubah.

"Pengalaman daripada program disertai telah melengkapkan peserta dengan kemahiran diperlukan bagi menghadapi cabaran masa depan dengan penuh yakin,” ujarnya.

Untuk rekod, IRP disertai Ketua Program Psikologi Kanak-kanak dan Keluarga, Dr Nur Farhana Ardillah Aftar dan Felo Siswazah, Nurul Shafira Adi.