Jabatan Adiwangsa UiTM utamakan warisan Melayu dan Bumiputera

Iklan
Memelihara warisan budaya, agama, bangsa Melayu dan Bumiputera adalah objektif utama Jabatan Adiwangsa.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan Jabatan Adiwangsa sebagai langkah signifikan memperkasa misi asal penubuhannya sebagai sebuah institusi khusus untuk kaum Melayu dan Bumiputera.

Jabatan ini dibentuk berasaskan prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153, serta nilai-nilai yang dipegang dalam Rukun Negara dan DNA UiTM.

Iklan
Iklan

Selain itu, penghormatan terhadap Institusi Beraja juga menjadi salah satu teras utama dalam pembentukan jabatan ini, memperlihatkan komitmen UiTM untuk menjaga dan memperkukuh warisan budaya, agama, bangsa Melayu dan Bumiputera.

Majlis peluncuran ini disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Hotel Tamu Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Iklan

Penubuhan Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa pada April 2024 telah mempercepatkan lagi usaha UiTM untuk mempersiap jati diri para pelajar dan warga ke arah penghayatan Melayu, Islam dan institusi beraja.

Penggabungan empat organisasi yang terdiri daripada Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu, Bahagian Hal Ehwal Islam, Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah; dan Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di bawah Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa akan menumpukan usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam industri, malah tegak menjunjung prinsip Melayu, Islam dan Beraja pada bila-bila masa, di mana jua.

Iklan

UiTM akan terus memberikan peluang kepada para pelajar luar bandar untuk mengubah kehidupan keluarga dengan menawarkan 522 program akademik di 34 buah kampus di seluruh negara sebagai kesinambungan usaha memperbaiki ketidakseimbangan landskap sosio-ekonomi masyarakat khususnya Melayu dan Bumiputera.

Majlis ini menandakan permulaan yang cemerlang bagi Jabatan Adiwangsa, dengan harapan ia akan terus memperkukuhkan kedudukan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi yang unggul dan berwibawa.

Jabatan ini bertekad untuk memacu masa depan negara dengan pendidikan yang berkualiti dan relevan, sambil memastikan warisan budaya dan nilai-nilai murni bangsa terus terpelihara.