KPM akan buat pengumuman lanjut berkaitan matrikulasi - Fadhlina

Iklan
Fadhlina

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan membuat pengumuman selanjutnya berkaitan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan meneliti perkara itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya dengan pengumuman lain yang berkaitan.

Iklan
Iklan

Beliau menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad berhubung perkara tersebut sebagai jaminan pendidikan yang diberikan kepada semua anak negara ini tanpa mengira latar belakang dan kaum.

"Jadi, inilah satu jaminan pendidikan yang diberikan Perdana Menteri sendiri dan saya bersama Menteri Pendidikan Tinggi akan meneliti perkara itu dan kita akan susul tindak dengan pengumuman-pengumuman lain nanti," katanya kepada pemberita selepas program bersama kumpulan wanita berkaitan penjagaan wajah dan fisioterapi di Taman Puteri Gunung, Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Ahad.

Iklan

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, bermula tahun ini.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas, tidak akan menggangu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.

Iklan

"Tahniah anak-anak semua dan kita harapkan dengan jaminan itu tiada kegusaran terutamanya kuota matrikulasi dikekalkan dan dalam masa sama peluang pendidikan itu cukup luas serta semua dapat tempat untuk melanjutkan pengajian masing-masing," katanya. - Bernama