UPSI bangunkan perpustakaan 'Bei Bebaca' di kampung Orang Asli, Cameron Highlands

Iklan

Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membangunkan sebuah perpustakaan mini yang diberi nama 'Bei Bebaca' di Perkampungan Orang Asli Chenan Cherah di Cameron Highlands.

UPSI dalam kenyataan memaklumkan, PTB UPSI sebelum ini menerima permohonan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bersempena dengan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT).

Iklan
Iklan

Menurut universiti itu, perpustakaan mini tersebut siap dibangunkan dalam tempoh tiga bulan di kampung yang didiami seramai 86 penduduk Orang Asli yang hidup dalam keadaan yang kurang berkemampuan.

Pembangunan perpustakaan ini telah mendapat tajaan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Entrepreneurs' Organization (EO) Malaysia.

Iklan

Seramai tujuh petugas PTB UPSI bertungkus lumus menyiapkan ruang dalam perpustakaan mini yang dilengkapi dengan rak, meja, kerusi serta hiasan dekorasi untuk memberi keselesaan kepada anak-anak penduduk orang asli.

UPSI telah menyerahkan bahan bacaan ringan sebanyak 130 naskhah bernilai RM1,500.

Iklan

Menurut Pegawai Lapangan Program BMT, Muhammad Fazlie Nordin pembangunan perpustakaan mini ini adalah satu inisiatif dalam memberi akses kepada pendidikan.

"Malahan komuniti Orang Asli ini turut diberi kaedah bagaimana mereka dapat mengubah status sosioekonomi dan meningkatkan keupayaan sara hidup sekali gus membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan komuniti orang asli," katanya.

Majlis perasmian perpustakaan mini berkenaan telah berlangsung pada Ahad. - Bernama