Cemerlang 9A, 8A juga dipertimbang matrikulasi, asasi - Fadhlina

Iklan
Fadhlina ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Semua pelajar yang dikategorikan cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) layak untuk dipertimbangkan kemasukan ke matrikulasi atau program asasi universiti awam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu tidak tertakhluk kepada lepasan yang memperoleh keputusan 10A ke atas, sebaliknya ruang sama diberikan kepada mereka yang mencapai semua gred A bagi setiap mata pelajaran diambil.

Iklan
Iklan

"Semua pelajar cemerlang kita akan pertimbangkan, jadi jangan risau. Ruang itu ada dan rayuan kita buka seluasnya untuk dipenuhi supaya peluang pendidikan diberikan kepada semua pihak.

"Itu adalah jaminan daripada Kerajaan Madani bahawa setiap pelajar cemerlang akan kita tangani penempatan mereka di matrikulasi dan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Anti Buli Peringkat Daerah Kerian di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Krian, Parit Buntar, Perak pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab tanggapan sama ada keputusan 10A dijadikan penanda aras utama dalam penempatan lepasan SPM ke matrikulasi dan program asasi universiti awam.

Fadhlina berkata, setiap lepasan cemerlang hanya perlu membuat permohonan kemasukan untuk dipertimbangkan.

Iklan

"Semua data pelajar cemerlang ini sudah ada dalam sistem kita, jadi tidak perlu risau," katanya.

Beliau berkata, KPM bergerak bersama KPT secara agresif dan komprehensif dengan mengambil kira semua pendekatan untuk memastikan pelajar cemerlang mendapat tempat.

"Semalam (Isnin) kita telah pun menerima kemasukan pelajar di peringkat matrikulasi dan 5 Julai ini, kita akan terima pelajar yang di peringkat rayuan pula.

"Seterusnya kita membuat penyelarasan penempatan bersama KPT agar tempat ini dapat diisi dengan segera," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memberi jaminan semua lepasan SPM yang mendapat keputusan 10A ke atas tanpa mengira kaum dan wilayah akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi, bermula tahun ini.

Keputusan yang dipersetujui Jemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lepas itu bagaimanapun tidak akan menggangu kuota pelajar Bumiputera sedia ada.