Politeknik Ungku Omar (PUO) menawarkan tiga program baharu peringkat sarjana muda iaitu Sarjana Muda Teknologi Senibina, Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Marin dan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik.
Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata, tiga program itu telah diluluskan dan bakal ditawarkan kepada pelajar pada kemasukan September nanti.
"Buat masa ini, tiga bidang berkenaan hanya ditawarkan pada peringkat diploma di sini,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penutup Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCCSkills), Perak, Khamis.
Ujar beliau, pihaknya juga telah melakukan persediaan dari segi tenaga pengajar dan prasarana untuk kemasukan pelajar bagi program tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin berkata, sebanyak 4,000 permohonan diterima bagi kemasukan ke program asasi bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di semua kampus politeknik.