Penipuan timbangan merugikan masyarakat?

Iklan
Penipuan timbangan merujuk kepada perbuatan tidak jujur di mana seseorang memanipulasi atau menyusun semula timbangan untuk menunjukkan berat yang lebih rendah daripada sebenarnya. Gambar kecil: Wan Nur Athirah.

Dalam landskap kehidupan kita yang berterusan, kebergantungan terhadap penggunaan timbangan dalam urusan perniagaan merupakan hal yang lazim dilakukan.

Kita sebagai pengguna sering bergantung kepada penggunaan timbangan untuk memastikan kita mendapatkan sesuatu barang dengan berat yang tepat dan berpatutan dengan harga.

Iklan
Iklan

Barang-barang yang sering kali menggunakan timbangan termasuklah makanan, buah-buahan, sayuran, daging, ikan, bijirin, bahan-bahan kering seperti gula dan tepung serta barang-barang lain yang dijual mengikut berat.

Namun, di sebalik kegunaannya yang mendasar, terdapat isu serius yang melanda banyak perniagaan iaitu masalah penipuan dalam timbangan.

Iklan

Penipuan ini sebenarnya tidak hanya merugikan pemilik perniagaan tetapi ia juga secara langsung boleh mengganggu kepercayaan masyarakat terhadap sistem perdagangan yang adil.

Penipuan timbangan dalam sesebuah perniagaan merujuk kepada perbuatan yang tidak jujur di mana seseorang memanipulasi atau menyusun semula timbangan untuk menunjukkan berat yang lebih rendah daripada sebenarnya.

Iklan

Dengan menunjukkan berat lebih rendah, penjual dapat mengenakan harga sama atau lebih tinggi kepada pelanggan, tetapi sebenarnya memberikan jumlah barang lebih sedikit.

Situasi ini boleh berlaku di pelbagai sektor perniagaan seperti kedai runcit, pasaraya, kilang dan lain-lain.

Modus operandi penipuan ini sering kali berlaku secara tersembunyi dan tanpa disedari pelanggan yang menjadi mangsa.

Penipuan sebegini membolehkan penjual meningkatkan keuntungannya, namun merugikan pembeli dengan membuat mereka membayar untuk jumlah lebih tinggi daripada apa yang sepatutnya mereka terima.

Isu berkaitan penipuan timbangan semakin menjadi-jadi dan ia tidak boleh dibiarkan berlanjutan sebegitu rupa.

Kita boleh lihat banyak akhbar-akhbar tempatan turut melaporkan isu penipuan timbangan ini dari dahulu sehingga kini, namun ia masih lagi tidak dapat dibendung secara menyeluruh.

Sedarkah masyarakat bahawa penipuan dalam timbangan sebenarnya boleh mendatangkan banyak keburukan dan kerugian kepada mereka?

Islam tidak mengajar cara meraih keuntungan dengan menipu dari segi sukatan timbangan dan sebagainya.

Jelas disebutkan dalam Islam, perkara yang diharamkan dalam perniagaan salah satunya ialah larangan mengurangkan kadar sukatan dan timbangan.

Perniagaan harus dijalankan dengan amanah dan jujur.

Mengurangkan kadar timbangan dan sukatan serta menggunakan helah untuk mengelirukan pelanggan adalah perbuatan yang dilarang dan tercela.

ALLAH SWT memperingatkan tentang kecelakaan besar bagi peniaga yang curang dalam menimbang dan menyukat barang.

Ayat-ayat dalam al-Quran menekankan pentingnya menyempurnakan timbangan dan sukatan dalam perniagaan.

Mereka yang melakukannya akan mendapat ganjaran baik di dunia dan di akhirat.

Namun, tidak mematuhi perintah ini boleh menyebabkan turunnya bala dan azab dari ALLAH.

Penipuan timbangan

Tidak dinafikan lagi, dampak penipuan timbangan dalam urusan perniagaan ini sangat meluas dan merugikan masyarakat dengan pelbagai cara.

Pertama, masyarakat secara langsung mendapat barang dengan berat yang kurang daripada yang sepatutnya, yang akhirnya menyebabkan kerugian kewangan yang tidak diingini.

Contohnya, dalam satu kejadian yang dilaporkan oleh Sinar Harian pada 22 Februari 2024, berkenaan isu Tawar harga ayam murah tapi tipu timbangan.

Berikutan isu tersebut, terdapat peniaga licik yang tidak jujur dalam urusan perniagaan dengan menawarkan harga ayam murah kepada pelanggan, tetapi pada hakikatnya, mereka menggunakan timbangan yang dimanipulasi untuk menunjukkan berat lebih rendah daripada sebenarnya.

Akibatnya, pelanggan membayar untuk berat yang sepatutnya lebih tinggi, tetapi menerima ayam dengan timbangan yang tidak betul.

Kes ini menyaksikan bagaimana penipuan timbangan merugikan masyarakat secara langsung dengan membawa kepada pembayaran lebih tinggi untuk jumlah barang yang kurang dan ditipu timbangannya.

Seterusnya, penipuan timbangan ini tidak hanya merugikan masyarakat dari segi kewangan, tetapi juga merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap kejujuran dalam perniagaan.

Kepercayaan adalah asas kepada setiap hubungan perniagaan yang berjaya.

Namun, apabila peniaga menggunakan taktik yang tidak jujur seperti penipuan timbangan, ia mencorakkan persepsi negatif terhadap integriti perniagaan secara keseluruhan.

Kesannya, kepercayaan masyarakat terhadap kejujuran dan keadilan dalam perniagaan akan terhakis.

Pelanggan yang terkena penipuan timbangan mungkin merasa dikhianati, hilang kepercayaan dan menyalahkan seluruh industri atau sektor perniagaan atas isu tersebut.

Ini boleh menghasilkan sikap keraguan yang luas terhadap setiap urusan perniagaan, tidak kira dengan peniaga yang jujur atau tidak.

Akibatnya, hubungan antara peniaga dan pelanggan menjadi tegang kerana rasa ketidakpuasan dan ketidakadilan yang boleh mengganggu keharmonian dalam masyarakat.

Lebih jauh lagi, ketika kepercayaan masyarakat terhadap perniagaan terjejas, ia boleh memberi kesan yang meluas kepada ekonomi tempatan.

Perniagaan yang berasaskan kepercayaan dan reputasi baik memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi.

Namun, jika masyarakat kehilangan keyakinan dalam integriti perniagaan, ia boleh menyebabkan penurunan kegiatan perniagaan secara keseluruhan.

Kurangnya keyakinan boleh menghalang pelanggan daripada membuat pembelian sekali gus menyebabkan penurunan pendapatan bagi peniaga yang jujur dan bertanggungjawab.

Gara-gara sikap tamak dan tidak jujur tersebut, peniaga lain yang terkena tempiasnya.

Penipuan timbangan ini bukan sekadar memberi impak kepada ekonomi tempatan, malahan turut mengancam keadilan sosial.

Penipuan dalam timbangan sudah tentu mewujudkan ketidakadilan dalam perdagangan.

Pemilik perniagaan yang tidak jujur akan mendapat keuntungan yang tidak sepatutnya dengan merugikan pelanggan.

Ini menyebabkan pemilik perniagaan yang jujur mungkin menghadapi saingan yang tidak adil dan berdepan dengan cabaran dalam mengekalkan perniagaan mereka.

Boleh dikatakan penipuan timbangan dalam perniagaan tidak hanya menyebabkan kerugian individu tetapi juga memberi impak yang cukup besar terhadap kesejahteraan dan kestabilan masyarakat secara keseluruhan.

Langkah-langkah pencegahan

Jadi, untuk menangani penipuan timbangan ini, langkah-langkah pencegahan dan tindakan tegas perlu diambil segera.

Pihak berkuasa tempatan dan badan-badan pengawasan perlu meningkatkan pengawasan terhadap penggunaan timbangan, serta menguatkuasakan undang-undang berkaitan dengan penipuan perdagangan.

Selain itu, pendidikan kepada pemilik perniagaan dan masyarakat mengenai kesan negatif penipuan timbangan perlu ditingkatkan untuk memupuk budaya kejujuran dalam perdagangan.

Perlu diingatkan bahawa penipuan timbangan bukan hanya satu masalah kecil dalam perniagaan, namun ia adalah isu yang perlu dipandang serius yang merugikan masyarakat dalam negara.

Dengan kesedaran yang tinggi dan tindakan tegas dari semua pihak yang terlibat, kita boleh bersama-sama mengatasi fenomena ini dan memastikan perdagangan yang adil dan beretika bagi kebaikan bersama.

Maklumat Penulis

Mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Wan Nur Athirah Wan Mohd Rasidi

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my