Pengekodan atau lebih mudah dikenali sebagai coding menjadi salah satu aspek pembelajaran yang sangat penting pada hari ini.
Ia adalah langkah persediaan anak-anak muda khususnya murid mendepani kemajuan teknologi.
Pendedahan tentang pembelajaran itu sudah diperkenalkan sejak tahun 2016 apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan bidang tersebut kepada murid sekolah rendah menerusi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi sekolah menengah.
Pembelajaran berkaitan pengekodan ini dimuatkan dalam subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) sebagai kemahiran asas yang perlu dikuasai murid bagi mengaplikasikan dalam komponen robotik.
Ketua Kelab Robotik Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2, Kuala Lumpur, Suriani Shafie berkata, silibus pengekodan yang telah pun diterapkan dalam mata pelajaran RBT, menjadikan murid sedikit sebanyak perlu mempelajari ilmu terbabit.
Melalui silibus ini katanya, pihak sekolah mengambil langkah inisiatif menjalin kerjasama dengan pihak industri iaitu EDU360 Academy bagi mencurahkan ilmu tentang pengekodan yang disampaikan sendiri oleh pakar bidang berkenaan.
"Jalinan kerjasama ini dibuat berikutan pada awalnya, sekolah mendapat permintaan daripada ibu bapa pelajar untuk mengadakan kelab robotik.
"Sebagai guru, untuk mengajar mungkin ilmunya terhad kerana ia bukan bidang kami. Berikutan itu, pihak sekolah mula mencari tenaga pengajar luar yang boleh hadir mengajar murid-murid ini.
"Sebab itulah, pihak sekolah memilih untuk terlibat bersama syarikat EDU360 Academy sejak tahun 2018 hingga kini,” katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Sambutan murid
Suriani yang juga guru di SK Taman Melawati 2 berkata, sejak kelab robotik ditubuhkan, pertambahan bilangan murid yang berminat untuk mendalami ilmu ini dilihat memberangsangkan dan ia menyebabkan sekolah mempunyai pelapis baharu terutama sekali melibatkan pertandingan robotik.
Beliau berkata, jika dahulu ibu bapa berkemungkinan tidak menghantar anak-anak mendalami ilmu pengekodan atau robotik, namun hari ini kesedaran mula menguasai berkemungkinan disebabkan oleh perkembangan teknologi yang memberi tumpuan terhadap dua perkara berkenaan.
"Murid-murid yang berminat menyertai kelas pengekodan dan robotik ini perlu membayar yuran kerana sekolah menggunakan bantuan tenaga luar sebagai pengajar, ditambah pula dengan peralatan yang digunakan.
"Bagaimanapun, diakui disebabkan ia sebagian ilmu, ibu bapa tidak mempunyai masalah kewangan dan mereka memang sokong sekiranya anak-anak berminat mempelajari ilmu pengekodan dan robotik,” ujarnya lagi.
Software asas tetapi sangat maju
Pengasas EDU360 Academy, Chaman Singh pula berkata, pendedahan mengenai pengekodan kepada murid adalah bersifat asas yang tidak memerlukan mereka menguasai huruf, nombor dan simbol tertentu.
Katanya, tahap mereka •software• adalah LEGO Mindstorms EV3 Lab Software yang lebih mudah untuk difahami dan dikuasai.
"Untuk tahap tinggi pengekodan, jika tersalah satu huruf sahaja memang robot yang kita cipta tidak akan berjalan.
"Walaupun software itu senang digunakan tetapi sebenarnya ia advance bagi tahap sekolah rendah kerana menerusi pengekodan tersebut robot yang dicipta boleh menjadi satu teknologi kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan robot berfikir dan membuat keputusan sendiri,” jelasnya.
Chaman berkata, penguasaan murid dalam bidang pengekodan dan robotik ini juga sedikit sebanyak membantu menarik minat mereka untuk memilih Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) sebagai pilihan pendidikan seterusnya kerjaya masa depan.
Dengan ini, kegusaran terhadap penurunan bilangan murid yang terlibat dalam STEM dapat diatasi sekali gus menjadikan Malaysia ada pelapis yang hebat kelak.
"Kita lihat sekarang murid seakan-akan tidak berminat ke arah STEM kerana persepsi yang menyatakan ia susah dan tidak menyeronokkan.
"Sebagai jurulatih pengekodan dan robotik, pendedahan menyeronokkan adalah perlu bagi menarik minat mereka agar STEM dapat menjadi satu pilihan utama dalam meneruskan pembelajaran,” katanya.