Inovasi dalam subjek Pendidikan Islam terus mendapat nafas baharu apabila sekumpulan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari Sekolah Rendah Agama (SRA) Saujana Utama (SRASU), Sungai Buloh, Selangor memperkenalkan satu bahan bantu mengajar interaktif yang dinamakan Rel-Qalqalah Sughra (RELQAL'S).
Produk kreatif yang dibangunkan pasukan inovasi sekolah, SRASU PRO-i itu bukan sahaja memudahkan pengajaran, malah melonjakkan nama sekolah ke persada antarabangsa.
Menurut pengkaji inovasi yang terdiri daripada Shahrul Fahmy Parlan, Nurulfarhin Izzati Zaini dan Juliana Mokhtar, RELQAL'S direka khusus untuk membantu murid Tahun 1 menguasai hukum Tajwid terutama Qalqalah Sughra dalam mata pelajaran Iqra' 4.
"Ia dibina berasaskan kaedah permainan berkonsepkan rel kereta api yang menggabungkan elemen visual, sentuhan, teknologi LED, USB port dan roda dadu interaktif.
"Dengan pendekatan ini, murid dapat belajar sambil bermain seterusnya mengukuhkan pemahaman hukum Qalqalah secara menyeronokkan," kata mereka.
Mengulas lanjut, Ketua Projek/Teknikal, Shahrul Fahmy berkata, penghasilan RELQAL'S tercetus daripada masalah biasa yang sering berlaku dalam bilik darjah iaitu murid sukar mengenal hukum Qalqalah dan kekurangan bahan bantu mengajar yang menarik.
"Ramai murid menyebut huruf Qalqalah secara mendatar tanpa lantunan, malah keliru antara huruf Qalqalah dan huruf-huruf lain yang berbaris sukun.
"Lebih membimbangkan, pengajaran Iqra' sering kali diasingkan daripada elemen Tajwid, sedangkan kedua-duanya saling berkait rapat," ujarnya.
Seterusnya, Shahrul Fahmy berkata lagi, hanya 33 peratus murid mencapai penguasaan hukum Qalqalah, dalam ujian awal melibatkan lapan murid Tahun 1.
"Namun, selepas penggunaan RELQAL'S, penguasaan meningkat kepada 99 peratus sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan interaktif ini.
"Ujian lanjutan juga telah dijalankan ke atas semua murid SRASU yang masih berada di tahap Iqra’ 4 dengan hasil yang sangat memberangsangkan," ujarnya.
Sementara itu, Guru Besar SRASU, Ustazah Shamsiah Mohd Alias menyatakan sokongan penuh terhadap inovasi tersebut.
"Saya selaku pentadbir sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada SRASU PRO-i dalam menjayakan kajian tindakan dan inovasi ini demi sistem pendidikan yang cemerlang.
"RELQAL'S membuktikan bahawa kreativiti guru mampu membawa perubahan besar dalam bilik darjah, walaupun guru-guru ini adalah guru KAFA, mereka mempunyai motivasi tinggi dalam peningkatan prestasi murid," katanya.
Dalam pada itu, Juru Latih Utama Negeri Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ustazah Munera Hashim berkata, RELQAL'S bukan sekadar alat bantu mengajar untuk murid-murid sahaja.
"Sebaliknya ia adalah simbol kesungguhan dan kreativiti guru dalam mengangkat pendidikan Islam JAIS ke tahap yang lebih tinggi iaitu dari bilik darjah kecil menuju ke pentas inovasi dunia," katanya selaku pembimbing dan penasihat kepada pasukan SRASU PRO-i dalam penghasilan RELQAL'S.
INFO
Pencapaian SRASU PRO-i
1) Pingat emas dalam International Invention, Innovation and Design Competition 2025 (I3DC2025)
2) Naib johan Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan Peringkat Daerah Kuala Selangor 2025
3) Anugerah Khas Laporan Kajian Tindakan Terbaik 2025
4) RELQAL'S diiktiraf dengan pendaftaran hak cipta (MYIPO) dan dikembangkan untuk kegunaan murid lain termasuk berkeperluan khas.