Siapa sangka, alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dipercayai dibunuh rupa-rupanya seorang graduan pintar di universitinya.
Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, 25, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Dengan Kepujian telah meraih Purata Gred Nilai (GPA) 4.0 dalam peperiksaan yang didudukinya pada Semester 2 Sesi 2022/2023.
Ia dibuktikan menerusi perkongsian Nur Farah Kartini di Facebooknya pada 30 Ogos 2023, yang dimuat naik dengan ketetapan umum.
Tulis beliau, pelbagai rintangan terpaksa dilalui sepanjang pembelajaran di UPSI.
"Bermulanya bab baharu. Alhamdulillah perjuangan empat tahun dah tamat. Banyak cabaran sepanjang tempoh pengajian ni, tapi alhamdulillah masih dikuatkan jiwa dan raga untuk bertahan.
"Terima kasih juga untuk sahabat yang selalu ada disaat susah dan senang. Struggle nak siapkan assignment, fyp, report, pastu tidur berjemaah dekat student lounge semata-mata nak siapkan kerja (bila last minit semua gelabah baru nak buat sama-sama biasa ya).
"Jadi sekarang kita road to convo,” kongsinya dalam hantaran itu.
Di hujung catatan, Allahyarhamah sempat meluah isi hatinya khas untuk ibu yang dipanggil bonda.
"Kepada bonda tersayang, anak bonda dah besar,” katanya dengan berkongsi emoji sedih.
Allahyarhamah yang berasal dari Miri, Sarawak dikatakan bakal bergelar guru tidak lama lagi, namun beliau tidak sempat untuk mendidik anak murid menjadi pandai, berilmu dan berakhlak mulia.