Nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi bualan ramai apabila salah seorang graduan mereka, meninggal dunia pada Isnin.
Graduan yang dikenali sebagai Nur Farah Kartini Abdullah, 25, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) Dengan Kepujian.
Beliau maut di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor, Selangor.
Susulan Allahyarhamah dari UPSI, Sinar Bestari ingin berkongsi sejarah ringkas penubuhan kampus itu sebagai rujukan semua pembaca.
UPSI ditubuhkan pada 1 Mei 1997 di bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997, demikian menurut portal rasmi universiti itu.
UPSI terletak di Tanjung Malim, Perak Darul Ridzuan.
Ia mempunyai dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan Kampus Sultan Azlan Shah yang bitara dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta menerajui perubahan global.
UPSI begitu komited untuk membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, UPSI merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang penting dalam lipatan sejarah pendidikan negara.
Ia berkembang secara bertahap dari sebuah kolej ke sebuah universiti.
Agak menarik apabila meneliti tahap perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama, mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama.
Berkongsi mengenai cokmar universiti pula, ia asalnya merupakan alat senjata yang diubah bentuknya menjadi sebuah alat lambang kebesaran dan kuasa.
Catatan sejarah menunjukkan bahawa pada 19 Mac 1952, Majlis Raja-Raja telah menghadiahkan sebuah cokmar kepada Majlis Perundangan.
Rentetan daripada itu wujudlah cokmar negeri- negeri serta institusi pengajian tinggi yang menjadi lambang kuasa penganugerahan ijazah.
Memandangkan pentingnya cokmar, pada 18 Disember 1998, UPSI telah membuat cokmar rasminya yang diperbuat daripada Perak Sterling (p25ag) berukuran 22G (gauge) tebal dan 105sm panjang.
Ringkasnya, pada 30 November 2021, UPSI telah menerima cokmar baharu menggantikan cokmar sedia ada.
Cokmar baharu ini masih mengekalkan motif dan ciri yang asal tetapi ditambahbaik dengan beberapa ciri tambahan seperti ukiran cokmar bersadurkan emas 24K bagi menunjukkan nilai yang gah sebuah institusi pendidikan yang diketuai oleh Canselor sebagai Ketua Universiti.