Agong berkenan kurnia biasiswa kepada 14 penuntut IPT

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan bergambar bersama 14 penuntut IPT pada Majlis Pengurniaan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Tujuh penerima biasiswa berkenaan ialah bagi pengajian di peringkat PhD, manakala tujuh di peringkat sarjana (penyelidikan).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024 kepada 14 penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di Istana Negara pada Rabu.

Seramai tujuh penerima biasiswa bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD), manakala tujuh pada peringkat sarjana (penyelidikan).

Iklan
Iklan

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan dua penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara, manakala 12 lagi akan meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.

Penuntut yang menerima biasiswa bagi peringkat PhD ialah Nadrahtul Aqilah Mohd Yahya (Imperial College London - Fizik), Alyssa April Dellow (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - Data Sains), Muhammad Aiman Mohd Sukiman (Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Persekitaran).

Iklan

Penerima lain ialah Toh Shek Man (Universiti Putra Malaysia (UPM) - Cancer Pharmacology), Avinash Kumaresan (UKM - Nanoteknologi), Muhammad Faris Hamzi Tuan Ibrahim (UTM - Undang-undang) dan Jankin Abd Rahman (UPM - Ekonomi).

Penerima BYDPA pada peringkat sarjana pula ialah Ahmad Qayyum Fikri Ahmad Jazimin (UPM - Computer Vision AI), Nur Addina Mohamad Rosli (UPM - Pemakanan), Jeyrubini Ramesh (USM - Molecular Omics Technology) dan Nasihah Mohd Zahid (USM - Nanoteknologi).

Iklan

Turut menerima biasiswa peringkat sarjana ialah Adam Fansuri Achdiat Mahpha Fansuri (Imperial College London - Bioinformatics & Biocomputing), Muhammad Izzuddin Abdullah (UM - Biokimia) dan Nur Fatin Fitriah Nordin (UPM - Machine Learning).

Sultan Ibrahim berkenan menyantuni bersama 14 penuntut IPT pada Majlis Pengurniaan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan sama memaklumkan biasiswa berprestij yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 menaja calon berprestasi tinggi dalam akademik dan bukan akademik (ko-kurikulum).

"Setakat tahun 2024, sebanyak 19 sesi penawaran dilaksanakan dengan 212 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 107 orang pada peringkat PhD dan 105 peringkat Sarjana," katanya.

Beliau berkata, ia melibatkan pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang, Kewangan Islam, manakala penambahan pada tahun ini dalam bidang Kecerdasan Buatan.

Dalam pada itu, penerima biasiswa, Shek Man menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong atas pengurniaan biasiswa berprestij itu.

"Dalam bidang pengajian saya iaitu kanser farmakologi, saya berharap akan menjumpai ubat yang lebih rendah kosnya dan mampu dimiliki semua pihak. Saya juga berharap akan dapat menjadi pensyarah dan menyumbang kepada generasi akan datang," katanya. - Bernama